19 Jun 2019

Kerajaan sokong perluas kapasiti pelabuhan

Sinar Harian

20190619-Sinar-Harian_Kerajaan-Sokong-Perluas-Kapasiti-Pelabuhan.jpg

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan menyokong usaha operator pelabuhan di negara ini untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pengendalian kontena bagi menampung permintaan pada masa akan datang.

Menteri Pengangkutan,Anthony Loke berkata,trend semasa menyaksikan jumlah kapal besar membawa kontena yang berlabuh di pelabuhan negara ini semakin bertambah.

“Kita (kerajaan) tahu ada keperluan pelabuhan kita dibangunkan, dipertingkat dan diperluaskan kapasitinya.

“Maka apa yang kita perlu buat ialah kita bekerjasama dengan pihak operator supaya mereka dapat terus mereka dapat terus meletakkan lebih banyak pelaburan kerana semua pelaburan ini daripada pihak swasta ,bukan daripada pihak kerajaan,”katanya pada sidang media selepas menghadari Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd di sini semalam.

Anthony berkata,kerajaan menyedari tidak akan dapat bersaing dengan pelabuhan negara-negara jiran sekiranya langkah memperbesarkan kapasiti pelabuhan di Malaysia tidak dilaksanakan sekarang.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan strategik kerana berada di Selat Melaka iaitu lokasi yang merupakan jalan laut paling sibuk di dunia.

“Dengan pelaburan dilakukan pihak operator bagi pengembangan kapasiti pelabuhan, kerajaan pula perlu bersedia memberikan sokongan dari segi dasar,kelulusan,mempermudahkan permohonan dan prosedur.

“Ia juga memerlukan kerjasama semua pihak sama ada daripada kerajaan pusat,lembaga pelabuhan mahupun kerajaan negeri.Semua pihak harus bersama melihat perkara ini sebagai kepentingan nasional,”katanya.