14 Feb 2017

MMC Port Rangkul 2 Anugerah Antarabangsa

Berita Harian

2-Anak-Syarikat-raih-Anugerah,-Berita-Harian,-10-November-2016.jpg
 

KUALA LUMPUR: MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports) anak syarikat MMC Group, berjaya merangkul dua anugerah antarabangsa di Global Ports Forum 2017.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) meraih anugerah Terminal/Pelabuhan Pematuhan Proses Terbaik manakala Johor Port Bhd pula bagi kategori Pelabuhan/Terminal Cecair Pukal Terbaik dalam majlis anugerah yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corp Bhd, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, menyifatkan anugerah itu memaparkan kehadiran MMC Ports yang cemerlang dalam industri.

"Ia jelas membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi kami untuk meningkatkan standard tinggi bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti dan ada nilai tambah untuk para pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Khalib berkata, PTP yang juga pelabuhan pemunggahan terbesar di Malaysia, akan mempertingkatkan aspek ISO 9001 dan ISO 14001 kepada versi terkini 2015.

"PTP turut menjadi pelabuhan pertama Malaysia yang menerima pensijilan Sistem Pengurusan Bersepadu pada 2008," katanya.

Mengulas Pelabuhan Johor pula, Che Khalib berkata ia menyediakan perkhidmatan khusus bagi kargo barangan boleh dimakan serta petrokimia.

"Terminal itu dilengkapi kemudahan (mekanikal) pemunggahan berkapasiti tinggi bagi membolehkan kargo cecair pukal disalurkan terus ke dalam tangki simpanan pada kadar pemindahan yang tinggi," katanya.

BERNAMA