25 Aug 2018

Pelabuhan Tanjung Pelepas catat rekod lepaskan kapal dengan muatan lebih 19,000 TEU

BERNAMA ONLINE

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), unit MMC Group menjadi pelabuhan pertama di dunia melepaskan kapal dengan muatan akhir berjumlah lebih 19,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Kejayaan itu dicapai pada 18 Ogos lepas apabila Mumbai Maersk, satu daripada kapal Triple-E Generasi Kedua Maersk meninggalkan pelabuhan tersebut dengan rekod muatan 19,038 TEU.

Kapal itu, yang digunakan bagi Asia-to-Europe Service (AE5) tiba dari Shanghai, China, ke PTP dan kini sedang menuju ke Pelabuhan Rotterdam, Netherlands.

Pengerusi PTP dan Pengarah Urusan MMC Group Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian terbaharu ini merupakan bukti komitmen PTP dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

“Sebagai pelabuhan utama Malaysia dan pengendali logistik, kami berbangga dengan keupayaan kami menjangka dan memahami keperluan pelanggan kami serta ketangkasan kami untuk menyesuaikan dengan perubahan dalam industri yang kami beroperasi, agar kami terus berada dihadapan.

“Justeru itu, kami berbangga dengan kejayaan penting ini yang dicapai menerusi semangat dan komitmen tinggi kakitangan kami dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Che Khalib berkata perancangan dan pelaksanaan cekap operasi kontena dan pengoptimuman sumber yang baik dikenal pasti sebagai faktor yang membawa kepada kejayaan ini.

Beliau berkata PTP juga akan meningkatkan prestasi mereka dan menyediakan tahap perkhidmatan dan produktiviti yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pemegang kepentingan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata meskipun prestasi yang kukuh itu, PTP terus menyaksikan pertumbuhan pesat kuantiti dengan produktiviti dan daya saing yang sangat cekap.

“Pelbagai pelaburan berterusan dan peningkatan aktiviti sedang dilaksanakan sekarang dengan jayanya.

“Ini bagi memastikann kami dapat mencapai sasaran kami yang ditetapkan bagi tahun kewangan ini, dan apa yang paling penting menjamin kedudukan PTP dalam kalangan hab pindah kapal utama di dunia,” katanya.

PTP ketika ini sedang memulakan pemerolehan peralatan, inisiatif penyenggaran pencegahan dan program menaik taraf prasarana bernilai lebih RM1.2 bilion.

Program itu termasuklah pembelian kren quay baharu dengan spreaders, gantri bertayar getah, kepala trak, menaik taraf dermaga dan mendalamkan terusan untuk menampung kapal bersaiz besar generasi baharu yang akan berlabuh di PTP.

PTP mencatatkan jumlah kuantiti kendalian 8.4 juta TEU pada 2017 dan diunjur mengendalikan kuantiti kendalian 9 juta TEU tahun ini.