20 Sep 2023

PTP Anjur Platform Perniagaan untuk PKS

Utusan Malaysia View Source

210923-PTP-1.jpg
MARCO Neelsen (tengah) melawat gerai pameran oleh PKS sempena Hari Keluarga Pelabuhan Tanjung Pelepas 2023.

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), ahli Kumpulan MMC, meneruskan usahanya memacu kebolehcapaian ekonomi tempatan bagi anggota masyarakat yang kurang bernasib baik dan bakal usahawan dengan menganjurkan platform perniagaan sempena Hari Keluarga 2023 syarikat itu.

Kerjasama antara PTP, Persatuan Usahawan Wanita Bidadari, Johor Empowerment of Intellectual Women Association (JEIWA) dan Nictar, sebuah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan yang berpangkalan di Pontian, Johor mempamerkan kuasa perkongsian dalam memacu perubahan positif dalam masyarakat.

Hari Keluarga PTP yang berlangsung di Padang Utama PTP dari 8 hingga 10 September bertujuan membolehkan kakitangan dan keluarga PTP menikmati masa bersama sambil memupuk penglibatan komuniti, menyokong perniagaan tempatan, dan menyediakan platform untuk rangkaian dan kerjasama.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, dengan menyatukan sumber dan kepakaran NGO dan PKS, acara itu dapat mencipta pengalaman yang unik dan berharga dan pada masa sama membolehkan vendor yang mengambil bahagian mempamerkan serta mempromosikan produk mereka kepada lebih 5,000 kakitangan PTP dan ahli keluarga mereka.

“Kita juga menerima kehadiran pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa yang lain termasuk pelanggan, rakan kongsi perniagaan, agensi kerajaan dan pelbagai syarikat yang tinggal di kawasan Zon Bebas PTP.

“Platform perniagaan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan. Para hadirin berpeluang untuk meneroka gerai yang berbeza, berinteraksi dengan pemilik perniagaan dan mempelajari tentang usaha niaga inovatif yang muncul dalam komuniti.

“Daripada kraf tangan dan makanan artisan hingga produk pertanian dan aksesori pakaian, acara itu mempamerkan semangat keusahawanan dan kreativiti perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PTP akan terus bekerjasama dengan NGO berkaitan dan PKS tempatan melalui pelbagai platform perniagaan lain dalam ekosistem PTP yang juga akan melibatkan rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan.

“Kami berharap inisiatif ini akan mewujudkan jangkauan rangkaian yang lebih besar kepada para peserta dan dengan itu dapat menyediakan kebolehcapaian perniagaan yang mampan dan platform pertumbuhan kepada bakal usahawan,” tambahnya.

Pengasas Persatuan Usahawan Wanita Bidadari, Noorlizah Saayon berkata, program CSR Kasih Lestari PTP yang mampan telah membantu ahli Bidadari melalui banyak program dan aktiviti perkongsian pintar.

“Bidadari menerima maklum balas yang sangat positif daripada ahli kami yang mengambil bahagian, yang memuji PTP atas usaha mereka dalam mempromosikan usahawan tempatan dan mewujudkan suasana bertenaga yang menggalakkan rangkaian dan kerjasama.

“Kejayaan usaha ini adalah bukti kuasa perkongsian dan kepentingan menyokong NGO dan PKS dalam komuniti,” ujarnya. – UTUSAN