14 Feb 2019

PTP meterai perjanjian dengan Ramco naik taraf sistem ERP

Berita Harian Online

KUALA LUMPUR: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) memeterai perjanjian dengan Ramco Systems Limited untuk menaik taraf sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) semasanya.

Dalam kenyataan hari ini, PTP berkata pelaksanaan sistem ERP terkini itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperkasakan strategi digitalnya dan meningkatkan kecekapan operasi, selain memenuhi permintaan pelanggan pelabuhan itu dan keperluan industri yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen, berkata pelan tindakan digital terkini itu merupakan bukti kepada komitmen pengendali pelabuhan tersebut dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggannya.

“Berdasarkan kadar kemajuan teknologi yang mengubah dunia, penting bagi PTP untuk kekal berdaya saing dan menarik. Dengan melabur dalam teknologi terkini, kami akan terus membentuk terminal kami sebagai antara pelabuhan terminal paling maju dari segi teknologi dan terbaik di rantau ini.

“Kami juga mahu memilih rakan penyelesaian digital dengan kaedah yang dapat membantu kami dalam pertumbuhan kami selain memberi kami platform yang sesuai untuk menyepadukan dengan teknologi maju. Dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan Ramco kepada kami, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada kami dengan baik,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, Ramco akan melaksanakan ERP yang menyeluruh meliputi perolehan, inventori, kewangan, penyelenggaraan, pengurusan modal insan, perbendaharaan, pengurusan pinjaman, perancangan dan belanjawan.