23 Jul 2019

PTP sasar perluas kawasan secara berfasa

Berita Harian

ISKANDAR PUTERI: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menyasar memperluaskan kawasan itu sebanyak 141.64 hektar tambahan lagi secara berfasa dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berikutan minat yang semakin meningkat terhadap zon perdagangan bebasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Marco Neelsen, berkata zon perdagangan bebas sedia ada yang terdiri daripada Fasa 1 dan 2, siap pada 2005, dengan kadar penghunian 95 peratus setakat ini.

“Ketika ini, zon perdagangan bebas kami adalah seluas 350 hektar dengan 41 syarikat dan rumah gudang, yang mewujudkan kira-kira 10,000 pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Johor, Mohd Solihan Badri di PTP di dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Muhammad Razif Ahmad.

Neelsen berkata, perluasan zon perdagangan bebas itu akan berdasarkan kepada permintaan, dan tidak ada sebarang tempoh masa khusus.

“Itulah sebabnya mengapa kami bekerjasama rapat dengan kerajaan. Kami kemungkinan menyasarkannya lima tahun atau lebih lama lagi, bergantung kepada permintaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata kerajaan negeri akan membantu PTP dalam usaha perluasan itu dari segi pembelian tanah.

“Kerajaan negeri akan membantu dan memudahkan (perluasan), selain memastikan prosedur untuk membeli tanah diselesaikan secepat mungkin, kemungkinan sebelum akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mencari tanah yang berpotensi bagi cadangan perluasan itu termasuk tanah miliknya yang terletak berdekatan dengan PTP. - BERNAMA