15 Oct 2018

Sasar kendali 9 juta TEU tahun ini PTP terus perkukuh infrastruktur dan perkhidmatan di Pelabuhan Tanjung Pelepas

Kosmo

attachment.jpg

GELANG PATAH – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat sini, dijangka dapat mengendalikan 9 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) bagi tahun ini.

Hab transit kontena utama negara itu mencatatkan pe­ningkatan 1.2 peratus kepada 8.4 juta TEU pada tahun lalu, berbanding 8.2 juta TEU (2016).

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen memaklumkan, setakat ini tahun ini pihaknya telah mengendalikan 6.6 juta TEU.

Beliau juga optimis sasaran tersebut dapat dicapai ekoran perkembangan berterusan pasaran pemindahan kargo kapal, khususnya di Asia Tenggara.

“Pada kebiasaannya kami melihat pengukuhan kadar kargo pada suku keempat tahunan, dipengaruhi oleh dagangan sempena persediaan perayaan Hari Krismas dengan kapal-kapal kargo melalui Eropah dan singgah di sini.

“Selain itu, PTP juga terus melabur dalam memperkukuhkan kecekapan dan daya saing dalam menarik pelanggan serta mengukuhkan kerjasama dengan syarikat-syarikat perkapalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat sempena lawatan media ke Senai Airport City Sdn. Bhd. dan PTP anjuran MMC Corporation Bhd. (MMC) di sini baru-baru ini.

Perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dari Johor Bahru melibatkan jarak 45 kilometer atau 30 minit perjalanan.

Neelsen menjelaskan, pihak­nya melabur sebanyak RM1.2 bilion pada tahun 2017 dan 2018 dalam usaha agresif menambah baik infrastruktur dan peralatan di pelabuhan berkenaan.

Ia termasuk penambahan sebanyak lapan unit kren pelabuhan dan 29 kren gantri serta 93 lori kontena, menaik taraf dermaga dan kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran bagi mempertingkatkan akses kapal.

 

“Selain perkhidmatan kontena, perniagaan teras PTP yang lain adalah perkhidmatan marin dengan menyediakan perkhidmatan berkaitan serta mengendalikan lebih 20,000 pergerakan kapal setiap tahun.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan zon bebas, melibatkan khidmat penggudangan dan logistik serta pengilangan bagi industri pembuatan berskala ringan dan sederhana yang dipacu eksport,” katanya.

Mengulas sama ada perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China turut memberi kesan terhadap PTP, beliau menegaskan bahawa pada masa ini tiada impak yang dilihat.