19 Jun 2019

Sokong rancangan perluas pelabuhan tingkat kapasiti

Harian Metro (Page 27)

19062019-Sokong-rancangan-perluas-pelabuhan-tingkat-kapasiti-(Harian-Metro)-(1).jpg

Kerajaan akan sentiasa menyokong sebarang rancangan untuk memperluaskan semua pelabuhan di negara ini bagi meningkatkan kapasiti memandangkan trend sektor pelabuhan dan perkapalan masa kini yang berubah.

Trend itu termasuk saiz kapal yang berlabuh di pelabuhan dalam saiz yang semakin besar bagi meningkatkan jumlah kontena diangkut pada satu-satu masa.

Menteri Pengakutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sudah mengambil maklum akan keperluan membangun dan meningkatkan kapasiti pelabuhan itu sekali gus memastikan ia terus kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan ambil maklum adanya keperluan untuk pelabuhan sedia ada dibangunkan, dipertingkat dan diperluas supaya dapat menampung kapasiti yang lebih besar untuk bersaing dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang juga memiliki pelabuhan besar.

“Pembangunan pelabuhan ini bukan jangka masa pendek, tetapi kerajaan perlu merancang,” katanya selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama antara Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan syarikat pembekal traktor Terberg Tractors Malaysia (TTM) untuk membekalkan traktor pintar tanpa pemandu di pelabuhan itu di sini, semalam.