07 Jun 2016

Terap nilai positif kepada calon UPSR

Sinar Harian

New-Straits-Times,Logistic-section,Wednesday,-4-May-2016,-PTP-embarks-on-advanced-monitoring-systems.jpg

 

GELANG PATAH – Tanggungjawab memastikan kecemerlangan pelajar bukan hanya bergantung kepada guru dan sekolah sahaja, sebaliknya penglibatan semua pihak khususnya ibu bapa, Persatuan Ibubapa dan Guru serta penglibatan pihak ketiga dalam menyuntik motivasi buat murid amat digalakkan.

Atas kebertanggungjawaban itu, pengendali pelabuhan , Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) meneruskan program tahunan iaitu UPSR Motivational Talk bagi murid sekolah rendah dalam Gelang Patah, disini. Ketua Pegawai Eksekutif Interim PTP, Steven Yoogalingam berkata, seramai 130 peserta dari 13 sekolah terlibat dalam program itu yang bertujuan melengkapkan pelajar Tahun 6 dengan teknik pembelajaran sebagai persediaan menempuh peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ia juga sekali gus menggalakkan pelajar untuk belajar secara berkesan serta menerapkan nilai-nilai positif kepada kepentingan kerja berpasukan, pengurusan masa, kesungguhan dan komitmen terhadap diri mereka sendiri dan masa depan,” katanya. Ceramah tersebut disampaikan oleh penceramah motivasi terkenal pakar dalam teknik pembelajaran Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Ceramah dalam sesi ceramah itu, beliau memberi inspirasi kepada calon-calon dan membimbing peserta mengenai cara berkesan untuk mengkaji dan bagaimana pemikiran positif boleh membawa kepada pencapaian akademik yang baik.

Pegawai Pelajaran Johor Bahru, Rodyisnansyah Julaihi berkata, penganjuran program seperti ini akan membantu pelajar untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan diri sebelum mereka menduduki peperiksaan besar. “Program ini merupakan satu inisiatif yang baik yang wajar dipuji dan diikuti syarikat-syarikat korporat lain.

“Sekolah di Gelang Patah adalah sangat bertuah kerana mempunyai sebuah organisasi seperti PTP untuk menganjurkan pelbagai program pendidikan untuk pelajar-pelajar tempatan,” katanya. Seorang peserta, Suhaila Rashidi berkata, ceramah itu mampu menyuntik semangat serta memberi motivasi buatnya untuk mencapai keputusan yang terbaik. “Penceramah berkongsi banyak pandangan mengenai pelbagai kemahiran belajar dan juga memberi motivasi kepada kami untuk mrnjadi pelajar yang lebih baik. “Selain itu, sepanjang program itu juga, saya dapat bertemu ramai kawan baru dari sekolah lain”, katanya.