05 Sep 2002

C-TPAT: PTP mula rundingan dengan Kastam Amerika

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah memulakan rundingan dengan wakil-wakil Kastam Amerika Syarikat (AS) dan Kedutaan AS di sini untuk menyertai ahli Perkongsian Kastam-Perdagangan menentang Keganasan (C-TPAT).

C-TPAT dilancarkan oleh Kastam AS pada April tahun lalu bagi memastikan semua kargo ke AS diperiksa dengan teliti dan didokumentasikan.
 
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman berkata, kerjasama itu membolehkan PTP menyediakan keselamatan dan keselesaan kepada pelanggan dalam operasi menghantar barangan ke pasaran AS dan pasaran lain.
 
``Kami berbangga menyertai program ini yang direka cipta untuk memastikan tahap keselamatan tinggi perdagangan global dan antarabangsa.
 
``Penyertaan kami juga akan membolehkan PTP digunakan sebagai pusat kegiatan bagi barangan dari pelabuhan lain yang tidak mempunyai kemudahan yang sama seperti kami,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.