Delegasi Perdasama lawat Pelabuhan Tanjung Pelepas
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd.(PTP) hari ini menerima lawatan delegasi perniagaan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sidik Shaik Osman.
Katanya, delegasi 100 orang yang terdiri daripada usahawan, pembekal dan pengilang Melayu dari pelbagai industri di seluruh Malaysia itu diketuai oleh Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir.
Katanya, usahawan bumiputera lain yang ikut delegasi itu ialah Pengerusi Safuan Group, Datuk Matshah Safuan dan Datuk Zulkifli Mokti dari Kifli Mokti Sdn. Bhd.
"Dalam lawatan tersebut mereka diberikan penerangan terperinci mengenai pembangunan PTP dan kemajuan pelabuhan selepas beroperasi selama sembilan bulan," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan disini, hari ini.
Menurut beliau, mereka juga diberi penerangan mengenai beberapa isu semasa berkaitan pelabuhan dan peluang perniagaan di PTP yang akan wujud sebaik sahaja aktiviti-aktiviti pelabuhan meningkat.
"Fokus PTP pada masa ini adalah untuk membangunkan kawasan zon bebas PTP dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru untuk kawasan persekitaran PTP dan tenggara Johor,"katanya.
Menurut Mohd. Sidik, PTP sedang merancang untuk membina lebih banyak gudang bersaiz sederhana untuk menampung keperluan ke arah gudang-gudang seperti itu.
"Aktiviti yang disasarkan untuk gudang-gudang tersebut adalah seperti pemunggahan, pembungkusan dan pelabelan," katanya.
PTP terletak di atas tanah seluas 774 hektar dengan lokasi strategik di Tanjung Pelepas di kawasan tenggara Johor dengan kapal-kapal hanya memerlukan 45 minit untuk masuk ke pelabuhan dari laluan perkapalan antarabangsa.