24 Jun 2009

Derita kanak-kanak cacat jantung dapat perhatian

Berita Harian

GELANG PATAH: Penderitaan seorang kanak-kanak yang menghadapi masalah kecacatan jantung di Kampung Sungai Melayu, di sini mendapat perhatian syarikat pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), PTP Sdn Bhd baru-baru ini.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat PTP, Rozana Ismail, berkata pihaknya menghulurkan sumbangan berbentuk cek bernilai RM2,000 untuk meringankan beban keluarga kanak-kanak itu, Anja Shahmidah Indera Iskandar Shah, 3, yang disahkan hanya mempunyai dua injap jantung berbanding empat pada kanak-kanak normal.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya sudah melakukan satu lawatan susulan sebaik saja berita mengenai Anja disiarkan akhbar ini pada 5 Mei lalu serta akan terus memantau dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti bantuan yang dapat diberikan.

"Ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTP untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan terutama di kawasan Gelang Patah yang menjadi fokus syarikat kami," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan untuk rawatan kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Kampung Sungai Melayu, di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, keadaan Anja dilaporkan bertambah buruk apabila mudah sesak nafas sebelum muntah dan pengsan apabila bermain berikutan disahkan mempunyai kecacatan jantung dengan hanya mempunyai dua injap berbanding empat injap pada manusia normal selain, salah satu injap berkenaan sempit dan bocor.

Bapa kanak-kanak itu, Indera Iskandar Shah Abdullah, 40, dipetik berkata satu-satunya jalan bagi menyelamatkan anak beliau adalah dengan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi kosnya mencecah puluhan ribu ringgit, sedangkan pendapatannya sebagai nelayan pantai tidak tetap iaitu kira-kira RM20 sehari.

Selain itu, katanya, beliau tidak menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana agensi lain bagi merawat penyakit anaknya.

Ibu kanak-kanak itu, Hamidah Ambak, 30, yang juga mempunyai seorang lagi anak, Fatin Nabila, 1, berkata beliau terharu dengan sumbangan yang diberikan PTP untuk meringankan beban keluarga serta merawat masalah yang dihadapi anaknya.

"Dengan bantuan yang dihulurkan PTP ini, kami berharap dapat membawa Anja untuk menjalani pemeriksaan di IJN sebelum melakukan sebarang rawatan lanjut," katanya.