Lebih membanggakan apabila anak jati dari Miri, Sarawak itu menjadi antara dua wanita yang berjaya bergelar sebagai malim pelabuhan di negara ini.
"Apa yang mendorong saya mahu bertugas di pelabuhan adalah pengalaman sendiri yang sering melihat pelabuhan di Miri ketika kecil dulu.
"Dorongan menjadi malim pelabuhan bertambah kuat apabila melihat ramai wanita memegang jawatan itu di luar negara termasuk di Singapura," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia, di sini, hari ini.
Emanuel berkata, antara syarat utama untuk menjadi malim pelabuhan adalah mendapatkan lima jenis lesen iaitu Lesen C, Lesen B, A2, A1 dan Lesen A.
"Lazimnya, proses mendapatkan kelima-lima lesen berkenaan mengambil masa lima tahun, namun saya lulus semua lesen itu dalam tempoh tiga tahun saja.
"Sebaik saja lulus semua lesen berkenaan, saya memulakan khidmat sebagai malim pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, pada 2021," katanya.
Menurutnya, dianggarkan sebanyak 3,000 kapal dikendalikan beliau sepanjang perkhidmatannya sebagai malim pelabuhan dengan purata kira-kira 700 kapal setahun.
"Antara tugas paling mencabar adalah mengendalikan sebuah kapal sepanjang 400 meter yang saiznya sama seperti empat padang bola.
"Saya mengetuai penugasan itu yang membabitkan seramai 60 pegawai dan anggota meliputi pelbagai tugas bagi membolehkan kapal berkenaan berlabuh di pelabuhan," katanya.
Beliau berkata, terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapinya sebagai malim pelabuhan termasuk cuaca serta perubahan teknologi kapal dan peralatan.
"Sebagai malim pelabuhan, saya perlu peka dengan perubahan teknologi setiap kapal yang berlabuh selain faktor iklim yang boleh menyukarkan operasi.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya bersyukur sepanjang perkhidmatan tidak pernah berlaku insiden tidak diingini seperti kemalangan," katanya.
Bagi wanita yang mahu berkecimpung dalam bidang sama, beliau menasihatkan mereka supaya membuktikan kebolehan masing-masing agar ia dapat diketengahkan.
Katanya, Jabatan Laut Malaysia banyak membantu meningkatkan profesionalisme malim pelabuhan terutama dalam kalangan golongan wanita.
"Jabatan ini menyediakan kursus serta latihan kepada kami supaya malim pelabuhan di negara ini mencapai standard dan piawaian antarabangsa.
"Malah, jabatan ini juga menghargai jasa pelaut serta malim pelabuhan dengan penganjuran Karnival Pelaut dan Rumah Api 2025 sempena Hari Pelaut Sedunia serta Hari Alat Bantuan Pelayaran Marin Sedunia pada hujung minggu ini di Putrajaya.
"Dengan penganjuran karnival ini, diharap ia dapat mengeratkan kerjasama antara jabatan ini dengan pelabuhan utama dan komuniti pelaut termasuk menerusi perkongsian mengenai pengetahuan teknologi," katanya.