04 Apr 2002

Evergreen meterai perjanjian beroperasi di PTP

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 April - Evergreen Marine Corporation (Evergreen) telah menandatangani perjanjian dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Isnin lepas untuk menggunakan perkhidmatan pelabuhan itu mulai Julai ini.

Perjanjian berkenaan juga sekali gus menamatkan persoalan sebelum ini sama ada Evergreen akan meneruskan cadangannya untuk berpindah ke PTP seperti yang diumumkan pada pertengahan tahun lalu setelah pihak berkuasa pelabuhan Singapura (PSA Corp. Ltd.) dilaporkan membuat tawaran balas.
 
``Evergreen dan PTP telah menandatangani perjanjian penggunaan perkhidmatan terminal pada 1 April,'' kata kenyataan bersama kedua-dua pihak terbabit itu kepada media di sini hari ini. Kenyataan itu menambah, persinggahan syarikat perkapalan kontena kedua terbesar dunia dari Taiwan itu di PTP dijangka bermula pada suku ketiga (Julai hingga September) tahun ini.
 
Langkah Evergreen itu adalah menyusuli langkah syarikat perkapalan kontena terbesar dunia dari Denmark, Maersk Sealand yang memindahkan operasinya dari Singapura ke PTP pada Disember 2000.
 
Tindakan itu akan meningkatkan pengendalian kontena kargo PTP sehingga melebihi 2 juta TEU setahun memandangkan Evergreen mengendalikan 1.2 juta TEU kontena kargo di pelabuhan Singapura setiap tahun.
 
Langkah itu juga akan menjadikan pengendalian kontena kargo di pelabuhan itu akan meningkat sebanyak 50 peratus. Singapura akan kehilangan kira-kira 7 peratus daripada kira-kira 17.4 juta TEU kontena kargo yang dikendalikannya setiap tahun.
 
Evergreen pula akan dapat menjimatkan kos operasinya sehingga RM22 juta setahun ekoran perubahan itu. Menurut laporan sebelum ini, PTP juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan sejumlah syarikat lain untuk menggunakan perkhidmatannya.
 
Ia akan menerima persinggahan Mediteranean Shipping Company (MSC) mulai bulan ini. Persinggahan MSC itu adalah selaras dengan kedudukannya sebagai ahli pakatan perkhidmatan perkapalan Safari yang dianggotainya bersama Maersk Sealand dan Saf Marine.
Persinggahan MSC merupakan satu lagi kejayaan kepada PTP dalam usahanya untuk muncul sebagai sebuah lagi pelabuhan pindah angkut utama di rantau ini.
 
Dalam perkembangan yang berkaitan, sebuah akhbar Singapura melaporkan semalam bahawa PSA Corp. Ltd. tidak akan terlibat dalam perang harga dengan PTP.