Evergreen sah pindah operasi ke PTP
Berita Harian
Oleh Nor Liza Ahmad
EVERGREEN Marine Corporation (Evergreen) mengesahkan sudah memeterai perjanjian perkhidmatan terminal dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTPSB) bagi memindahkan operasinya dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor.
Dalam kenyataan bersama di Kuala Lumpur, semalam Evergreen dan PTP, berkata perjanjian itu dimeterai Isnin lalu.
“Pemindahan itu dijangka dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini,” kata kenyataan itu.
Kontrak Evergreen dengan Port of Singapore Authority (PSA), iaitu pengendali Pelabuhan Singapura akan tamat Ogos ini.
Kenyataan kedua-dua syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci berhubung nilai urus niaga dan jumlah kontena yang bakal dikendalikan PTP berikutan pemindahan operasi Evergreen.
Perjanjian yang dimeterai kedua-dua syarikat itu menamatkan pelbagai halangan yang timbul berhubung langkah Evergreen untuk memindahkan operasinya ke Malaysia.
Ia juga memberi tamparan hebat kepada PSA.
Sebelum ini, Maersk Sealand, iaitu syarikat perkapalan kontena terbesar di dunia turut memindahkan operasinya ke PTP selepas membeli 30 peratus kepentingan dalam PTPSB.
Evergreen, antara syarikat perkapalan kontena utama di dunia ketika ini mengendalikan sejumlah kira-kira 1.2 juta TEU di Singapura.
Kelmarin, Berita Harian melaporkan Evergreen dijangka memindahkan operasinya dari Pelabuhan Singapura ke PTP Ogos ini.
Memetik sumber, laporan itu berkata, langkah itu dibuat berikutan kos perkhidmatan yang ditawarkan PTP adalah 50 peratus lebih rendah dan mampu menjimatkan Evergreen kira-kira RM100 juta setahun.
PTP yang memulakan operasi pada Oktober 1999 di kawasan seluas 400 hektar mempunyai kelebihan dari segi prasarana, laut dalam dan hubungan dengan kargo udara di Lapangan Terbang Senai yang sedang dibangunkan.
Sepanjang tahun lalu, pelabuhan itu mencatat pencapaian memberangsangkan dengan merekodkan pengendalian 2.05 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena.
Jumlah itu juga melebihi sasaran PTP bagi tahun itu, iaitu dua juta TEU dan juga adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada jumlah pengendalian pada tahun 2000 yang hanya sebanyak 418,000 TEU.
Selain Evergreen, sebuah lagi syarikat perkapalan antarabangsa iaitu Mediterranean Shipping Company (MSC) juga dijangka akan menjadikan PTP sebagai pusat persinggahannya di rantau ini tidak lama lagi.
Syarikat Switzerland itu dikatakan akan berlabuh di PTP dua minggu sekali dan dijangka mengangkut hingga 100,000 unit bersamaan 20 kaki kontena (TEU) setahun.
MSC yang juga adalah pelanggan utama PSA dengan mengangkut 200,000 TEU setahun adalah syarikat perkapalan induk terkemuka dunia yang kedua selepas Maersk Sealand.