12 Nov 1999

Faedah PTP untuk pengendali pelabuhan Amerika

Berita Harian

Para pekapal dan pengendali pelabuhan Amerika akan mendapat manfaat daripada penggunaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) memandangkan lokasi strategiknya di muara laluan dagangan Trans-Pasifik, Intra-Asia, Timur Jauh-Eropah dan Asia Tenggara-Australasia, kata Pengarah Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman.

Menurut beliau, pelabuhan yang direka bentuk dengan menyediakan kemudahan untuk kapal-kapal Super Post-Panamax dan sistem teknologi maklumat canggih itu akan dapat mempermudahkan pergerakan kargo serta mempertingkatkan potensi perniagaannya.

Beliau berkata demikian di dalam kertas kerja pada Persidangan Pelabuhan Dunia di Charleston, South Carolina anjuran Agensi Pembangunan Perdagangan AS yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada persatuan-persatuan kejuruteraan AS, pekapal-pekapal dan syarikat-syarikat logistik Amerika.

Turut hadir adalah firma-firma terkemuka seperti ABN Amro, GE Capital, Parsons Brinkerhoff, Sea-Land Terminals, Maher Terminals, Lockheed Martin dan Dames & Moore.

Di dalam kertas beliau mengenai Peluang-peluang bagi pertumbuhan di PTP itu, Mohd Sidik memaparkan kemajuan pelabuhan itu, daripada pembinaannya pada awal 1997 hingga kepada operasi percubaannya sekarang yang bermula 10 Oktober lalu.

Beliau juga memberitahu PTP telah menetapkan matlamat sebagai pusat penghantaran utama Asia Tenggara dengan kelebihan persaingan mengatasi pelabuhan-pelabuhan serantau lain.

Selain daripada memperkenalkan PTP dan kemudahannya kepada pelabuhan AS, industri perkapalan dan logistik, beliau berkata penyertaan PTP di dalam persidangan itu akan membantu memperkukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan AS.

Sektor swasta boleh membantu mengambil kerjasama dua hala menyeluruh ke tahap yang lebih tinggi lagi, katanya.