29 Jun 2021

'Jodoh' dengan jentera berat

Harian Metro View Source

SITI-SUKMA-02-1.jpg
BEKAS pencuci kapal terbang yang kini bergelar pemandu prime mover pelabuhan.

Jika ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Siapa sangka, wanita yang dulunya hanya bekerja sebagai pencuci kapal terbang kini boleh berbangga menjadi antara pemandu prime mover wanita di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

Bagi Siti Sukma Drahman, 28, menjadi sebahagian daripada kakitangan di pelabuhan antara yang paling sibuk di dunia itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan.

Sebelum itu, wanita kelahiran Kota Samarahan, Sarawak itu bekerja sebagai pencuci kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan sememangnya gemarkan kerjaya yang memberi cabaran.

Kata Siti Sukma, sebagai pemandu prime mover (lori terminal), dia terbabit dalam proses membawa kontena dari kapal ke blok yang ditetapkan di pelabuhan itu dan sebaliknya.

Katanya, dia bekerja dalam satu pasukan yang terdiri daripada beberapa jabatan lain dan arahan diberikan dari bilik kawalan.

 
BERSAMA-Menteri-Pembangunan-Wanita.jpgBERSAMA Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) sewaktu lawatan beliau ke PTP, baru-baru ini.
 
"Biasanya, setiap syif kerja adalah selama 12 jam dan dalam tempoh itu, jumlah kontena yang paling banyak dibawa setakat ini adalah sebanyak 41 buah dalam satu syif.

"Setiap kontena ada pelbagai saiz antaranya 20 kaki panjang dan 8 kaki tinggi, 40 kaki Panjang dan 8 kaki tinggi serta 45 kaki panjang dan 9 kaki tinggi, semua itu perlu disusun di mana ia turun dan naik bagi melancarkan proses pindahan ke kapal.

"Dianggarkan, dalam sehari pelabuhan transit ini menguruskan kira-kira 20,000 kontena yang perlu dipindah turun dari kapal dan dipindah naik ke kapal, " katanya.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam bidang itu, Siti Sukma berkata, semuanya bermula apabila dia mendapat tahu mengenai pengambilan pemandu prime mover oleh pelabuhan berkenaan daripada rakannya.

Katanya, kerjaya itu sesuai dengan minatnya yang gemarkan cabaran lantas dia menghantar permohonan sebelum ditemuduga April tahun lalu.

 
pihak-pengurusan-pelabuhan-itu-tidak-meminggirkan-kakitangan-wanita.jpgBERTUAH kerana pihak pengurusan pelabuhan itu tidak meminggirkan kakitangan wanita
 
"Saya bersyukur diterima bekerja sebagai pemandu prime mover memandangkan tidak pernah memiliki sebarang lesen kenderaan berat sebelum ini.

"Ibu bapa turut terkejut namun pada masa sama mereka gembira dan teruja selain tidak putus-putus berpesan supaya sentiasa berhati-hati.

"Pesanan ibu bapa sentiasa di ingatan kerana saya sedar, kerjaya ini sememangnya memiliki risiko tersendiri," katanya.

Dalam pada itu, Siti Sukma berkata, semua calon pemandu prime mover di PTP akan menjalani latihan dan ujian yang disediakan untuk mengenal pasti kemampuan mengendalikan kenderaan berat.

Katanya, dia dan calon pemandu prime mover lain perlu duduki latihan selama 28 hari, ujian memandu dan undang-undang sebelum memperoleh 'lesen' yang dikeluarkan pihak pelabuhan.

 
KERJAYA-sebagai-pemandu-prime-mover.jpgKERJAYA sebagai pemandu prime mover dimonopoli golongan lelaki.

Ini kerana memandu di dalam kawasan pelabuhan memang jauh berbeza dengan memandu di jalan raya biasa kerana di dalam kawasan itu, had laju maksima adalah 35 kilometer (km) sejam sahaja.

Jika lebih dari itu, pemandu akan diambil tindakan oleh pihak pengurusan PTP berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

"Justeru, kami perlu memandu dengan perlahan dan berhati-hati serta tidak boleh tergopoh-gapah selain perlu mahir mengendalikan kenderaan kerana kawasan pelabuhan sememangnya sentiasa sibuk.

"Alhamdulillah, dari lebih 60 lebih pengambilan pemandu prime mover kumpulan saya, lima adalah wanita," katanya.

Menurut Siti Sukma lagi, dia tidak menyesal memilih kerjaya itu kerana ia bukan sahaja mencabar tetapi pada masa sama dapat memupuk keyakinan diri.

Apa tidaknya, kerjaya yang majoritinya adalah lelaki itu sememangnya memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi.

Selain itu, kata Siti Sukma, kerjaya terbabit juga menawarkan peluang laluan kerjaya yang cerah sehingga ke peringkat pengurusan.

Karanya, dia bertuah kerana pihak pengurusan PTP tidak meminggirkan kakitangan wanita di dalam semua bidang termasuk operasi mahu pun teknikal.

"Kami memiliki peluang kenaikan pangkat yang sama rata berdasarkan prestasi dan ada juga dipilih memasuki program 'fast track.'

"Selepas memandu prime mover, saya bercita-cita untuk menjadi operator Rubber Tyre Gantry (RTG) dan ke peringkat lebih tinggi iaitu Quay Crane Operator(QC).

"Semoga impian berkenaan dapat dicapai kerana saya mahu buktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dalam bidang ini, " katanya yang turut menggalakkan wanita untuk menceburi bidang yang dikuasai lelaki.