Johor: 2 pelajar Orang Asli dapat bantuan PTP
www.bharian.com.my
JOHOR BAHRU: Dua pelajar Orang Asli dari Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah di sini yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi menerima bantuan kewangan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd, baru-baru ini.
Bantuan sebanyak RM1,000 seorang kepada Nurul Syafizah Noore dan Siti Zulaiha Mohd Shah, yang masing-masing berusia 18 tahun itu sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTP untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Gelang Patah.
Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia PTP, Zakaria Abd Rahman, berkata ia adalah kesinambungan usaha PTP dalam membantu masyarakat sekitar khususnya Orang Asli di Kampung Simpang Arang selepas dua tahun berturut-turut menghulurkan bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di sini.
Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat korporat terbesar di Gelang Patah, PTP komited dalam membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang dengan harapan dapat membantu menjaga kebajikan serta meningkatkan taraf hidup mereka.
“Kejayaan Syafizah seharusnya menjadi teladan dan contoh kepada masyarakat Orang Asli lain mengenai kepentingan pelajaran terhadap kehidupan mereka... bukan saja untuk masa kini tetapi lebih penting untuk generasi akan datang,” katanya.
Syafizah mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan akan menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu dalam bidang Kejuruteraan Kimia berjanji belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ibu bapanya.
Beliau berkata, bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung bapanya yang hanya bekerja sebagai pekerja kilang.
“Saya berterima kasih kepada pihak PTP atas bantuan ini kerana ia dapat membantu meringankan beban bapa untuk menghantar saya belajar di menara gading,” katanya.