Johor FM Edar 6,000 Bubur Lambuk
Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Johorfm Permata Selatan meneruskan Program Bubur Lambuk Johorfm ke – 13 dengan menyediakan 6,000 bungkusan bubur yang diedarkan kepada orang ramai selama dua hari bermula semalam.
Pengarah Penyiaran Malaysia Negeri Johor, Mohd Yusof Abdul Hamid berkata, program itu merupakan aktivi tahunan jabatan berkenaan dan sebanyak 20 periuk bubur lambuk disediakan sepanjang dua hari program berlangsung.
Katanya, program itu sebagai inisiatif memupuk semangat muafakat dalam kalangan warga kerja jabatan berkenaan disamping memeriahkan sambutan Ramadhan bersama pendengar setia Johorfm.
"Seramai 80 kakitangan bersama pendengar setia Johorfm dan sukarelawan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bertungkus lumus menyiapkan bubur lambuk ini.
"Sebanyak sepuluh periuk bubur lambuk dimasak sehari bagi menyediakan 3,000 bungkusan sehari yang diedar kepada orang ramai secara pandu lalu," kata nya semalam.
Selain itu katanya, program itu juga menjadi platform kepada jabatan berkenaan merapatkan hubungan bersama sektor korporat dan swasta yang turut sama bekerjasama menjayakan aktiviti berkenaan.
"Aktiviti seumpama ini akan dilakukan secara berterusan sebagai salah satu program tanggungjawab social kami.
"Diharap usaha ini terus menjadi platform memupuk semangat muhibah dalam kalangan kakitangan dan masyarakat setempat," katanya.
Source
