JST bina pusat kemudahan bersepadu di PTP
Berita Harian
Japan Solderless Terminals (JST) menerusi anak syarikatnya, JST Connectors (Malaysia) Sdn. Bhd., akan membangunkan kemudahan bersepadu seluas 92,903 meter persegi bagi pengeluaran, kejuruteraan, R&D, latihan dan jualan di Zon Bebas Pelepas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.
Ditubuhkan pada 1957 di Osaka, JST adalah pengeluar serta pengedar peranti udara penyambung eletrik dan elektronik nombor satu Jepun.
Kemudahan berkenaan yang akan dibina dalam Fasa A Zon Bebas Pelepas meliputi kawasan seluas 12.73 hektar (31.46 ekar), akan dimajukan pada kos permulaan sebanyak AS$100 juta, yang akan meningkat kepada lebih AS$200 juta dalam masa lebih 10 tahun, kata PTP dalam satu kenyataan.
Kilang baru itu yang adalah kemudahan termaju seumpamanya, akan menjadi sebahagian daripada sasaran jangka panjang JST.
Perjanjian pemajakan ditandatangani pada Jumaat lalu dengan Ketua Eksekutif PTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman mewakili PTP, manakala JST diwakili Penegrusinya, Miyoko Nishimoto.
PTP, yang dianggap sebagai pelabuhan Asia Tenggara yang berkembang pantas, terletak dalam kedudukan strategic di barat daya Johor dengan masa pelencongan minimum daripada pertembungan laluan kapal antarabangsa.
Lokasi strategic pelabuhan memberikan kelebihan geografi ayng ketara melalui laut dalamnya dan saluran yang luas. Ia menawarkan lapan dermaga 360 meter setiap satu menjadikan panjangnya berjumlah 2.88 km.
Seorang jurucakap JST berkata, faktor yang menyumbang kepada keputusan syarikat untuk menempatkan kemudahan berkenaan di Zon Bebas Pelepas termasuk kos keseluruhan perniagaan yang lebih rendah dan kemudahan logistik, terutama dengan operasi Singapura dan Indonesia serta rangkaian pengedaran yang berkesan dan meluas yang ada melalui capaian PTP bagi mencapai pasaran global mereka.
Tambahan pula, insentif yang ditawarkan Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan kestabilan politik adalah antara faktor yang membawa kepada keputusan sedemikian.
Dengan jualan global setahun lebih AS$1 bilion dan tenaga kerja dunia lebih 6,000, JST adalah pembekal penting kepada syarikat utama serta MNC dalam industri elektronik, telekomunikasi dan automotif.
Mohd Sidik berkata, PTP mula melihat permulaan kelompok industri bagi industri elektronik di Zon Bebas Pelepas, yang akan memberi kesan ketara kepada jumlah kargo tempatan yang dikendalikan oleh pelabuhan berkenaan.
Keputusan JST untuk mendirikan operasi di zon berkenaan akan mewujudkan permintaan baru bagi perkhidmatan khusus seperti pemprosesan alatan kejituan, dan acuan plastik, katanya