24 Aug 2022

Jurutera reliabiliti wanita pertama di PTP


Adik, ingat pesan mama dan ayah, kalau kita genggam bara api, biar sampai jadi arang.”

Titip kata daripada bonda tercinta itu akan meletus di benak kiran Nur Athira Huda Mohd. Puah setiap kali melaksanakan tugasan mahupun sesuatu perkara.

Pesanan penuh emosi yang dizahirkan bondanya, Hamimah Ya’acub, 53, sentiasa dijadikan pedoman serta panduan buat gadis manis itu yang kini meniti usia 28 tahun.

Berpaksi teguh akan kata nasihat itu, Nur Athira kini mampu tersenyum puas apabila cita-citanya untuk menjadi seorang ‘doktor’ tercapai.

“Sewaktu di bangku sekolah rendah sehingga kini, mama dan ayah selalu berpesan kepada saya, kalau buat sesuatu perkara buatlah secara bersungguh-sungguh, pastikan ada hasil kejayaan dalam genggaman.

“Ketika kecil, kami sekeluarga melalui fasa kehidupan yang agak sukar. Mama dan ayah berhijrah ke Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan untuk mencari rezeki dengan berniaga barangan runcit.

“Namun, tidak lama kemudian, nenek jatuh sakit dan mama mengambil keputusan untuk menjaga nenek di kampung di Rengit, Batu Pahat, Johor. Dari situlah saya saksikan sendiri mama dan ayah bergolok gadai berkorban kudrat untuk membesarkan kami lima beradik,” ujarnya kepada K2 ketika ditemui baru-baru ini.

Bara api yang digenggam gadis kelahiran Batu Pahat, Johor itu kini sudah menjadi arang apabila dia mencapai kejayaan menjadi seorang jurutera reliabiliti di pelabuhan kontena terbesar di Malaysia iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor.

Lebih manis, kejayaan menempah ‘tiket’ bekerja di syarikat gergasi yang mengendalikan pergerakan logistik keluar masuk kontena bukan sahaja bagaikan tuah buat Nur Athira, malah dia telah mencatat rekod sebagai jurutera reliabiliti wanita pertama di PTP.

Jawatan jurutera biasa sememangnya sudah banyak dipegang golongan wanita, cuma jurutera realibiliti suatu yang agak asing dan ini kali pertama kaum Hawa menjawatnya di PTP.

Berkongsi secara lebih terperinci tentang skop tugasnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon itu berkata, jurutera reliabiliti bertanggungjawab dalam memastikan segala aset, peralatan dan mesin melibatkan kejuruteraan dalam keadaan sedia dan baik serta selamat untuk digunakan.

“Sekiranya mesin atau sesuatu ‘equipment’ mengalami gangguan ataupun rosak, saya dan pasukan Divisyen Kejuruteraan akan melakukan siasatan, membuat analisis selain mencadangkan solusi untuk mengatasi masalah itu.

“Kerja saya bukan duduk depan komputer dalam pejabat sahaja, saya akan turun ke tempat yang dilaporkan mengalami masalah termasuk panjat quay crane pada ketinggian kira-kira 60 meter.

“Dengan kata mudah, tugas kami seperti seorang doktor. Kalau doktor kesihatan, mereka rawat manusia, kami pula doktor yang menjaga dan merawat mesin-mesin yang ada,” katanya.

BEKERJA dalam persekitaran didominasi lelaki dengan pekerja-pekerja kebanyakan lelaki, Nur Athirah perlu bijak menyesuaikan diri sebagai satu pasukan

Tugasan sebagai jurutera reliabiliti bukanlah sesuatu yang mudah, lebih- lebih Nur Athira merupakan satu- satunya jurutera wanita yang bekerja dalam Seksyen Integriti Aset yang didominasi kaum Adam.

Cabaran yang dihadapi alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang itu tidak ubah seperti pepatah Melayu ‘kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang’ yang bermaksud orang yang pandai menyesuaikan diri dan berdisiplin pasti hidup akan selamat.

Meskipun dirinya seorang perempuan, Nur Athira mampu memimpin rakan sepasukannya yang terdiri daripada lima lelaki dalam sesuatu tugasan serta bekerjasama dengan baik antara satu sama lain.

Bahkan, dia juga mampu bekerjasama dengan satu pasukan yang terdiri daripada kira-kira 30 pekerja meliputi jurutera serta juruteknik yang kebanyakan adalah lelaki.

Stigma masyarakat kita hari ini masih beranggapan kaum Hawa tidak boleh melakukan sesuatu tugasan yang dikuasai golongan Adam, namun kini Nur Athirah dan wanita lain berjaya membuktikan mereka tidk boleh dipandang enteng.

“Kita sebagai wanita memang difitrahkan mempunyai rupa bentuk, kekuatan dan keberanian berbeza dengan kaum lelaki. Cabaran inilah, kita perlu pandai bertindak bijak dengan keseimbangan kekuatan dan kelemahan kita.

“Dalam kerja berpasukan ini, kita tidak boleh ada sifat ‘aku sahaja yang betul’, sebaliknya perlu berfikiran terbuka menerima teguran dan kritikan, malah hormat-menghormati adalah elemen penting dalam menjaga keharmonian organisasi.

“Pasukan saya juga banyak membantu, memberi kerjasama selain menunjuk ajar, memandangkan ramai senior yang lebih berpengalaman. Kami bekerja dalam satu pasukan,” katanya.

NUR ATHIRA (kanan) bersama ibu tercinta, Hamimah yang meraikan kejayaannya semasa graduasi UTHM di Batu Pahat, Joho

Setelah bekerja hampir empat tahun, pelbagai pengalaman bermakna ditimba graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor itu.

Jelas Nur Athira, antara pengalaman berharga yang dikecapi ialah diberi peluang untuk menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti makmal minyak mini (oil mini lab), mesin analisis getaran (vibration analyzer), mesin analisis ultrabunyi (ultrasound analyzer) serta termo inframerah.

Mengimbau kembali saat pertama kali melangkah ke alam pekerjaan, Nur Athira berkata, dia terpilih untuk menjalani program khas yang diilhamkan PTP iaitu Young Engineer Apprentice Programme (Program Perintis Jurutera Muda) atau YEAP.

Ujarnya, usai mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektronik (komunikasi) di UTHM, dia mendapat tawaran mengikut program YEAP melalui pihak pengurusan universiti.

“Saya dapatPurata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.21 dan pada semester akhir, saya terima Anugerah Dekan dari pihak universiti. Pensyarah saya berkongsi maklumat berkaitan program ini dan mencadangkan saya untuk ikuti latihan kerja sebenar di PTP.

“Saya menjalani program ini selama setahun dan syukur alhamdulillah berkat doa keluarga serta usaha keras, saya ditawarkan jawatan sebagai jurutera reliabiliti di Divisyen Kejuruteraan,” katanya.

Nur Athira secara jujur mengakui ketika di bangku sekolah cita-citanya mahu menjadi seorang doktor perubatan. Namun, gara-gara mata pelajaran Kimia kurang memuaskan ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2011, dia mengubah haluan memilih opsyen kedua iaitu jurutera.

Di sebalik kejayaannya hari ini, ibunda merupakan watak utama dalam memacu cakera kehidupannya yang ketika ini bagaikan meniti pelangi indah.

Ibunya, Hamimah menitipkan rasa syukur apabila dikurniakan seorang puteri yang diibaratkan sebutir permata bersinar hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Mohd. Puah Aziz, 57.

“Saya bersyukur sangat dengan apa yang dikecapi Nur Athira ketika ini, mungkin ini berkat doa seorang ibu yang tiada hijab.

“Nur Athirah seorang anak yang baik, ikut cakap orang tua, sekarang ini dia yang menanggung saya selain dibantu juga empat anak yang lain, dia tidak lokek dan suka membantu orang lain,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Nenek kepada empat orang cucu turut berpesan agar anak perempuannya itu menjaga diri, adab sertas batas pergaulan kerana roda kehidupan ini penuh dengan dugaan dan cabaran.