Kapal kontena terbesar dunia singgah di PTP
Utusan Malaysia
JOHOR BAHARU 28 Mac - Axel Maersk, kapal kontena terbesar dunia dengan kapasiti 6,600 TEU, akan membuat persinggahan tetap sekali setiap lapan minggu di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mulai hari ini.
Kapten kapal itu, Jyrn Holger Pedersen berkata ia yang dibina pada Januari tahun ini dan didaftarkan di Bagenkop, Denmark adalah sebahagian daripada perkidmatan haluan Timur-Asia II yang melayari laluan daripada PTP ke pelabuhan-pelabuhan Hong Kong dan Shanghai.
Pedersen memberitahu pemberita di PTP hari ini, bahawa semuanya adalah baik dan mengikut jadual daripada ketika kapal itu membuat persinggahan sulung di PTP sekitar 9 malam tadi.
"Semuanya baik dan mengikut masa," katanya mengenai perkhidmatan yang diterima kapal itu di PTP, pusat pindah kapal paling pesat berkembang di Asia Tenggara.
Kepada satu soalan, katanya, Axel Maersk akan berlayar terus ke Hong Kong dan Shanghai dari sini dan tidak membuat persinggahan di tempat-tempat lain.
Axel Maersk, dengan panjang keseluruhan 352 meter dan luas 43 meter, adalah salah sebuah daripada kapal kontena paling moden di dunia, dan adalah lima meter lebih panjang daripada kapal-kapal terpanjang 347 meter sekarang.
Kapal seberat 10,000 tan dengan jumlah tan kasar didaftar 93,496 tan akan memuat dan mengeluarkan kira-kira 3,000 kontena di PTP semasa persinggahan 24 jam itu. Ia mempunyai draf maksimum 15 meter yang PTP boleh sediakan dengan mudah daripada segi kemudahan laluan saluran dan dalam di sepanjang dermaga.
PTP menyediakan enam dermaga 360 meter setiap satu panjang disokong oleh kelengkapan moden yang termasuk 24 kren dermaga Super Post Panamax, 10 daripadanya mempunyai capaian 22 kotak (kontena) dan adalah yang terbesar di rantau ini.
Bagi memperingati pelayaran sulung Axel Maersk itu di PTP, pengurus komersial pelabuhan itu, Gan Chee Yee menghadiahkan Pedersen sebuah plak pewter pada satu upacara ringkas di tepi dermaga itu hari ini.
Sementara itu, ketua pengawai eksekutif PTP, Mohd. Sidik Shaik Osman berkata ia adalah saat bersejarah bagi PTP kerana menerima persinggahan sulung Axel Maersk yang baru saja dibina tahun ini.
"Ia membuktikan usaha cemerlang PTP ke arah masa depan dalam menyediakan bagi kapal-kapal kontena terbesar dunia," katanya. - Bernama