17 Feb 2015

Kapal kontena terbesar singgah di PTP

Utusan Malaysia

Johor Bahru -Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melakarkan sejarah tersendiri apabila kapal kontena terbesar dunia, MSC Oscar berlabuh buat kali pertama di pelabuhannya, baru-baru ini.

Kapal milik Syarikat Perkapalan Mediterranean (MSC) mempunyai kapasiti 19,224 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) itu dalam pelayaran sulungnya dari Yantian, China ke Eropah. Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Glen Hilton berkata, sebagai sebuah pelabuhan kontena terbesar di dunia, PTP bersedia untuk mengendalikan kapal kontena bersaiz besar dan mendapat kepercayaan daripada MSC.

"MSC Oscar merupakan kapal kontena terbesar singgah di pelabuhan ini yang menunjukkan MSC yakin dengan kemampuan pelabuhan ini.

"PTP mempunyai peralatan lengkap untuk mengendalikan kapal bersaiz sangat besar dan ketibaan MSC Oscar di sini adalah sesuatu yang amat bermakna ke­rana sasaran kami untuk menjadi pelabuhan pilihan utama di Asia Tenggara," katanya dalam kenya­taan, di sini. Pengarah Urusan Pejabat Serantau MSC bagi Asia, Y.J. Tan pula berbangga MSC Oscar memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di laluan perdagangan Timur-Barat.

"Kami amat berterima kasih kepada PTP kerana dapat menyediakan kemudahan pelabuhan yang serba moden dan canggih.

"Saya yakin kami akan terus meningkatkan tahap perkhidmatan penghantaran berkualiti untuk para pelanggan di rantau Asia Tenggara pada masa akan datang," katanya.