Kapal Terbesar Singgah di PTP
Berita Harian
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor, terus mencatatkan sejarah tersendiri semalam, apabila menerima kunjungan kapal kontena terbesar dunia, MSC Oscar yang dalam pelayaran sulung dari Yantian, China menuju ke Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Glen Hilton, berkata dengan kapasiti nominal 19,224 TEU, mesra alam serta memiliki system kecekapan tinggi, MSC Oscar adalah yang pertama dari siri kapal kontena terbesar MSC berlabuh di PTP.
Katanya, MSC Oscar dilengkapi enjin kecekapan bahan api bernilai RM498 Juta (AS$140 juta) dan mencecah 197,362 berat muatan (DWT), bersamaan dengan saiz empat padang bola sepak.
"PTP sudah mempunyai keupayaan serta kemudahan untuk mengendali kapal kontena bersaiz besar, malah kunjungan MSC Oscar membuktikan lagi keyakinan MSC terhadap perkara itu." katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru semalam.
Sementara itu Pengarah Urusan Pejabat MSC Rantau Asia, YJ Tan, berkata pihaknya gembira kerana MSC Oscar sudah menawarkan perkhidmatan kepada pelanggannya di laluan perdagangan baharu timur barat.
Sedia Kemudahan
"Kami juga berterima kasih kepada PTP yang menyediakan kemudahan moden di pelabuhan, malah saya yakin kita akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan di rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.
"Kunjungan MSC Oscar ini turut membawa makna yang besar kepada visi PTP yang berhasrat menjadi pelabuhan pilihan di rantau Asia Tenggara serta komited dan dedikasi dalam menawarkan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggannya," katanya.