Kapasiti PTP Dikembangkan Melalui Fasa 3A Bernilai RM5 Bilion Tahun Depan
Bernama Online
Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) merancang mengembangkan kapasiti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) tahun depan menerusi projek pembangunan Fasa 3A, dianggar bernilai RM5 bilion.
Pengurus Besar LPJ Muhammad Razif Ahmad berkata pembangunan tersebut akan meningkatkan kapasiti PTP daripada 10.5 juta unit kontena bersamaan dua puluh kaki (TEU) ketika ini kepada 15 juta TEU apabila siap pada 2019.
"Pengembangan PTP sentiasa dibincangkan LPJ dan pihak pengurusan PTP dalam usaha meningkatkan operasinya yang kini memasuki 15 tahun. PTP kini beroperasi menerusi Fasa 2 dengan 14 dermaga sepanjang lima kilometer," katanya.
Muhammad Razif berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Minggu Pelabuhan 2015 LPJ yang disempurnakan Pengerusi LPJ Datuk Abdul Rahim Ramli, di sini, hari ini.
Beliau berkata menerusi pembangunan Fasa 3A itu sebanyak tiga dermaga sepanjang 1.5 kilometer akan dibina dengan satu daripadanya disasarkan mula beroperasi pada hujung 2018.
Katanya LPJ mempunyai pelbagai perancangan terhadap PTP sehingga tempoh 2045 dan kawasan itu mempunyai ruang yang cukup bagi usaha pengembangan kapasiti.
"Ini menjadi cabaran kita (LPJ) bersama-sama PTP dan kita akan usahakannya. Sekarang ini, selain kapal-kapal Maersk Line, kapal kontena terbesar dunia, MSC Oscar dengan kapasiti 19,000 TEU juga pernah beberapa kali memasuki PTP," katanya.
Mengenai Minggu Pelabuhan 2015, Muhammad Razif berkata ia berlangsung mulai Sabtu lepas sehingga Khamis ini dengan program Mencari Harta Karun dan Hari Bertemu Pelanggan di Galleria @ Kotaraya, di sini sebagai pembuka tirai.
Beliau berkata acara tahunan kelolaan LPJ dengan kerjasama Johor Port Berhad (JPB) dan PTP itu bertujuan memperkenal dan mempromosikan pelabuhan di negeri itu sekali gus mengetengahkan perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan.
Katanya antara acara lain adalah pameran agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Penerbangan Awam, pameran inovasi daripada Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia serta Persidangan Pelabuhan Hijau 2015.