13 Aug 2010

Kejutan Harian Metro

Harian Metro

Harian Metro berjaya melakukan kejutan selepas muncul naib juara Pertandingan Bowling Antara Media anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang berlangsung di Pusat Bowling Daiman, Johor Bahru, baru-baru ini.

Trio Harian Metro yang diwakili Ketua Biro, Ahmad Nazri Mohammad, Rizar Mohd Noor dan Roslan Khamis berjaya melakukan 1,198 jatuhan pin dalam pertarungan tiga frame sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta piala manakala juara pertandingan itu milik Astro Awani yang melakukan 1,218 jatuhan pin membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala.

Tempat ketiga diraih Utusan Malaysia yang hanya ketinggalan satu pin dengan Harian Metro selepas melakukan 1,197 jatuhan pin yang turut meraih wang tunai RM1,000. Trio Harian Metro juga merangkul hadiah pemain paling banyak membuat spare iaitu Roslan dan pemain paling ceria dianugerahkan kepada Rizar.

"Ini kali pertama gandingan Harian Metro beraksi pada pertandingan bowling dan saya agak terkejut dengan keupayaan mencatat kejayaan selaku naib juara. Apapun kemenangan itu bakal menjadi pembakar semangat untuk mencipta kejayaan pada pertandingan seterusnya," kata Ahmad Nazri.

Trio pilihan iaitu Berita Harian dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) masing-masing meraih tempat keempat dan kelima. Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar Audit Dalaman PTP, Othman Ibrahim dan turut hadir menyaksikan pertandingan itu adalah Pengurus Kanan Komunikasi Korporat, Md Derick Basir.