06 Apr 2011

Kem PTP tingkat keyakinan 120 pelajar UPSR

Bernama

JOHOR BAHRU: Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menganjurkan kem dua hari satu malam bagi membantu meningkatkan keyakinan 120 murid Tahun Enam dalam membuat persediaan menduduki Ujian  Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat organisasi itu membabitkan murid terpilih daripada 10 sekolah sekitar kawasan Gelang Patah.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat PTP, Md Derick Basir, berkata kem motivasi itu memberikan pendedahan mental dan fizikal kepada peserta termasuk meningkatkan disiplin supaya mereka lebih bertanggungjawab.

“Pemilihan PTP sesuai kerana pembangunan pelabuhan ini turut didorong perkembangan sosio-ekonomi masyarakat setempat, sesuai untuk menjana pemikiran remaja seperti mereka.

“Justeru, program motivasi ini bukan saja menfokuskan akademik tetapi pada masa sama, kita melatih mereka untuk memikul tanggungjawab dan bekerja dalam satu pasukan menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Md Derick berkata, program itu adalah usaha PTP memastikan komuniti terutama anak tempatan di kawasan berkenaan menunjukkan prestasi baik di sekolah masing-masing termasuk menjadi inspirasi kepada pelajar lain dengan menjadi yang terbaik.

“Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting bagi memastikan pembangunan potensi sebenar anak masing-masing. Antara pengisian program juga membabitkan pembabitan ibu bapa dalam sesi khusus,” katanya.

Murid Sekolah Kebangsaan Tiram Duku dekat sini, Nur Jahiran Hamzah, berkata beliau gembira berikutan peluang diberikan sekolah dengan memilihnya menyertai program terbabit.

“Menyertai kem motivasi ini membuatkan saya sedar mengenai kepentingan pelajaran dan berazam untuk memperbaiki taraf kehidupan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Normah Tan Abdullah, berkata usaha berterusan yang dibuat PTP bukan saja memberi nilai baik kepada diri pelajar, tetapi usaha itu wajar dicontohi organisasi korporat lain di negeri ini.

“Program yang memasuki tahun keempat ini, memberikan perkembangan positif kepada anak tempatan yang menyertainya termasuk pengukuhan nilai positif selepas mereka menyertai program,” katanya.

Program itu juga meningkatkan bilangan pelajar yang mendapat 5A pada peperiksaan UPSR, iaitu daripada empat orang pada 2006 kepada 15 pelajar pada 2010.