14 Jan 2004

Kendalian kontena di PTP naik 31 peratus

Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) tahun lalu, meningkat 31 peratus berbanding 2.66 juta TEU pada 2002.

Ketua Eksekutif PTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman, berkata pencapaian yang melebihi jangkaan sebelum ini, iaitu tiga juta TEU, sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai terminal kontena nombor satu negara untuk tempoh dua tahun berturut-turut.
 
Beliau berkata, pencapaian cemerlang PTP itu berikutan sumbangan kakitangan yang bekerja keras dan mempunyai semangat bekerja yang tinggi.
 
“Kami bangga kerana PTP berjaya mencapai pertumbuhan yang tinggi walaupun terpaksa berdepan persaingan yang hebat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bharu, semalam.
 
Beliau berkata, jumlah pengendalian tertinggi tahun lalu ialah pada Oktober, iaitu sejumlah 332,314 TEU.
 
Katanya, daripada jumlah pengendalian tahun lalu, sejumlah 3.3 juta TEU adalah membabitkan kontena pemindahan, manakala pengendalian kargo tempatan meningkat 15 peratus kepada 150,000 TEU.
 
Kapal kontena yang berlabuh di PTP tahun lalu juga meningkat 26.6 peratus kepada 3,148 buah, berbanding 2,486 buah pada 2002.
 
Sementara itu, produktiviti kren kasar meningkat 4.5 peratus kepada 32.4 kemasukan sejam berbanding 31 kemasukan sejam tahun sebelumnya.
 
Mohd Sidik berkata, bagi mengekalkan kedudukan PTP sebagai pusat pemindahan muatan utama serantau, syarikat akan terus mensasarkan pertumbuhan agresif khususnya apabila siapnya dermaga tambahan bersaiz 720 meter di pelabuhan itu