LPJ belanja RM 5 billion besarkan PTP
Utusan Malaysia
Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan membelanjakan sebanyak RM5 bilion bagi projek pengembangan Fasa 3A Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan.
Pengurus Besar LPJ, Muhammad Razif Ahmad berkata, PTP yang beroperasi sejak 15 tahun lalu bukan sebuah pelabuhan yang sudah mencapai tahap matang, tetapi sebaliknya merupakan pelabuhan yang sedang berkembang.
Menurutnya, hingga kini PTP beroperasi dengan kapasiti pengendalian sebanyak 10.5 juta TEUs (unit kontena bersamaan dua puluh kaki) dan apabila fasa 3A siap sepenuhnya menjelang 2019, kapasitinya mampu ditingkatkan menjadi 15 juta TEU.
“PTP merupakan sebuah pelabuhan yang sedang membangun dengan 14 dermaga beroperasi dan perancangan jangka masa panjang telah dibuat sehingga tahun 2045.
“Bermula tahun depan, PTP akan memasuki fasa 3A yang akan menyaksikan pelabuhan tersebut beroperasi pada skala jauh lebih besar berbanding kemampuan sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Minggu Pelabuhan LPJ 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi LPJ, Datuk Abdul Rahim dan turut dihadiri Pengerusi program berkenaan, Kamaruzaman Munasir.
Muhammad Razif berkata, projek Fasa 3A pembangunan PTP merangkumi pembinaan tiga dermaga baharu sepanjang 1.5 kilometer dan sebuah daripadanya disasarkan dapat beroperasi menjelang tahun 2018.
“Pengembangan pelabuhan ini akan turut melibatkan usaha mengorek dan meluaskan saluran pelayaran untuk kemudahan kapal-kapal di pelabuhan tersebut,” katanya.
Minggu pelabuhan LPJ 2015 yang dianjurkan bermula Sabtu lalu hingga Khamis ini bertujuan memperkenalkan pelabuhan di bawah selia LPJ, iaitu PTP dan Pelabuhan Johor Pasir Gudang kepada masyarakat.
Antara program yang diadakan termasuk Hari Bertemu Pelanggan, Pameran, seminar pelabuhan hijau, pencarian Harta karun serta ceramah agama