11 Apr 2000

Maersk Cornelius singgah di PTP dalam pelayaran sulung ke Asia

Berita Harian

Maersk Cornelius, sebuah kapal kontena terbesar di dunia, dengan ukuran 347 meter panjang, singgah di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor semalam dalam pelayaran sulungnya ke Asia.

Dengan ini, PTP menerima tiga kapal terbesar di dunia yang kesemuanya berukuran 347 meter panjang, kata pelabuhan yang baru dirasmikan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Maersk Sealand, syarikat perkapalan terbesar di dunia mempunyai sembilan kapal kelas "S".

Sebelum ini, Maersk Cornelius, yang mempunyai keupayaan 6,600 TEU (unit bersamaan dua puluh) singgah di Pelabuhan Algeciras, Sepanyol. Kapal ini merapati dermaga PTP pada jam 1030 dan bertolak meninggalkannya pada jam 2013 hari yang sama.

Sejumlah 1,362 unit bersamaan 40 kali kontena telah diturunkan dengan menggunakan enam kren tepi bagan 'Super Post Panamax' milik PTP.

Dua kapal kelas "S" yang mula-mula singgah di PTP ialah Clifford Maersk pada 7 Februari dan Skagen Maersk pada 5 Januari tahun ini.

PTP kini sedang bersiap sedia untuk menjadi pusat pindah kapal utama di Asia Tenggara. Kemudahan-kemudahannya termasuk dermaga linear yang dijadualkan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2001 dan limbungan kontena seluas 1.2 juta meter persegi.

Pelabuhan ini juga dikendalikan melalui sistem IT bersepadu yang menghubungkan semua kemudahan dan kelengkapan di situ bagi mencapai produktiviti maksimum dan pulangan modal yang cepat.