27 Jul 1999

Nasib Nelayan dapat perhatian

Berita Harian

Kerajaan negeri memberi jaminan masa depan nelayan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup yang terjejas mata pencarian mereka berikutan pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas, akan diberi perhatian serius.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata masalah yang dihadapi kira-kira 400 nelayan terbabit sudah pun dibawa ke mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) untuk diajukan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak mengambil berat serta mengambil sebarang tindakan menangani masalah yang dihadapi nelayan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

"Kerajaan tetap memikirkan nasib masyarakat yang terjejas tetapi akan mengambil masa dan mereka yang terbabit diharap dapat bersabar.

"Ini kerana penyelesaian mengenai perkara itu sudah pun sampai di peringkat akhir tetapi bentuk dan cara mana ia akan diputuskan akan diberitahu kemudian," katanya di majlis pecah tanah di tapak pembangunan Tanjung Pilai di sini, hari ini.

Abdul Ghani diminta mengulas pampasan dikemukakan nelayan yang mendakwa projek pelabuhan kedua itu menjejaskan mata pencarian mereka.

Beliau berada di sini sempena lawatan dua hari ke DUN Kukup dan Benut.

Hadir sama mengiringi lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kukup dan Ketua UMNO bahagian Pontian, Datuk Ahmad Abdullah.

Abdul Ghani berkata, beliau sudah mengenal pasti tiga jalan penyelesaian yang dicadangkan iaitu memberikan pampasan, menyediakan kemudahan pekerjaan dan memberi peluang baru kepada nelayan terbabit.

Sehubungan itu, katanya, jalan penyelesaian itu nanti adalah tindakan jangka panjang bagi membela kepentingan mereka supaya tidak dikatakan kerajaan negeri mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berharap nelayan memberikan masa yang secukupnya kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu dengan sebaik mungkin.

Katanya, pembinaan pelabuhan itu sudah lama dirancang bagi menggantikan Pelabuhan Pasir Gudang yang kurang strategik dan jauh daripada laluan laut.

Beliau berkata, kapal yang hendak ke Pelabuhan Pasir Gudang hanya boleh melalui pada waktu siang saja kerana kerajaan Singapura tidak membenarkan kapal melalui kawasan mereka pada sebelah malam, manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas hampir dengan laluan laut dan boleh dikunjungi pada bila-bila masa.

"Ini tentunya berbeza dengan kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang begitu hampir dengan laluan laut dan boleh dikunjungi pada bila-bila masa saja", katanya.