14 Jul 1999

Pasir Gudang, Tanjung Pelepas taraf antarabangsa tahun depan

Berita Harian

Pelabuhan itu dijangka dilengkapi segala kemudahan dan peralatan lengkap dan moden sejajar keperluan perdagangan antarabangsa bagi kawasan selatan Semenanjung Malaysia.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Zainalabidin Mohamed Zin, berkata Pelabuhan Tanjung Pelepas yang terletak di Tanjung Kupang, berada dikedudukan paling strategik dan dijangka muncul sebagai pelabuhan perantara (hub transhipment) yang terkenal di rantau sebelah sini.

"Pelabuhan ini sedang disiapkan dan akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan moden serta disokong sepenuhnya oleh sistem pengkomputeraan ke arah merealisasikan matlamat ini.

"Sejajar itu, pelabuhan ini direkabentuk bagi mengendalikan lebih 80 peratus kargo perantara di samping kargo tempatan," katanya menjawab soalan Ahmad Omar (BN-Bukit Serampang) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Persidangan hari ini memasuki hari kedua dengan sesi soal jawab dan perbahasan titah ucapan Sultan Johor oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Zainalabidin berkata, Pelabuhan Pasir Gudang yang beroperasi sejak 1977 kini mempunyai kapasiti kargo 40 juta tan metrik dan mencukupi untuk menampung keperluan industri yang beroperasi di kawasan Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, pelabuhan itu yang ketika ini mengendalikan pelbagai jenis kargo akan diubahsuai sebagai pelabuhan khusus kargo bukan kontena bagi memenuhi keperluan jangka panjang.

Menjawab soalan S. Krishnasamy (BN-Tenggaroh) mengenai pembinaan lebuh raya, Gemas-Segamat-Kluang dan Johor Bahru, Zainalabidin berkata, projek penswastaan itu diluluskan secara prinsip oleh kerajaan dan kini bergantung kepada syarat atau terma yang akan dirundingkan kelak.

Menurutnya, setakat ini dua mesyuarat jawatankuasa teknikal diadakan bagi membincangkan aspek teknikal seperti skop kerja, jajaran lebuhraya, persimpangan bertingkat dan sebagainya.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaku penyelaras jawatankuasaitu masih menunggu maklum balas daripada syarikat konsesi untuk tindakan selanjutnya.

Menjawab soalan Tay Khim Seng (BN-Maharani) mengenai pembinaan Jalan Sungai Abong, Muar, Zainalabidin berkata, reka bentuknya sudah siap dan tender akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada Ogos depan.