Pasukan Sinar Harian unggul
Sinar
JOHOR BAHRU - Pasukan Sinar Harian Johor tampil unggul apabila berjaya menggondol empat anugerah daripada sepuluh kategori yang dipertandingkan sempena perlawanan boling bersama media anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), di sini, kelmarin.
Lebih membanggakan, jatuhan pin terbanyak bagi kategori lelaki dan wanita juga menjadi milik wartawan Sinar Harian Johor, Mohd Firdaus Yon dan wartawan Skuad Pasir Gudang, Azizan Inche Harun.
Bagaimanapun pasukan boling wanita Sinar Harian terpaksa akur di tempat kedua keseluruhan di belakang pasukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan di tempat ketiga milik pasukan Astro Awani.
Media lain yang turut serta ialah TV3, The Star, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, RTM, Utusan Malaysia, KOSMO!, Astro Awani, BERNAMA TV, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, The China Press, NSTP Group (NST, Berita Harian, Harian Metro) dan Unit Media & komunikasi, Pejabat Menteri Besar Johor.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah pemain mencatatkan kutipan terbanyak masuk 'longkang', pemain aksi spontan, nama kumpulan kreatif, pasukan paling bergaya, pemain yang mencatatkan balingan spare terbanyak, pemain yang mencatatkan strike tiga berganda, catatan tertinggi bagi lelaki dan wanita, serta jatuhan pin tertinggi kumpulan wanita dan lelaki.
Hadiah berupa wang tunai RM2,000 milik RTM (wanita) dan Unit Media & komunikasi, Pejabat Menteri Besar Johor (lelaki) manakala, tempat kedua membawa pulang wang tunai RM1,500 milik Sinar Harian (wanita) dan RTM (lelaki) serta RM1,000 bagi media dari Astro Awani (wanita) dan NSTP Group (lelaki).
Turut hadir ialah Penolong Pengurus Besar, Khidmat Pengurusan & Kewangan LPJ, Kamaruzaman Munasir; Penolong Pengurus Besar, Khidmat Korporat & Pembangunan LPJ, Noraishah Azizan; Pengurus Kanan, Jabatan Korporat LPJ, Khalid Selamat; Ketua Pegawai Kewangan PTP, Iskandar Sham Abd Rasap dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat PTP, Md Derick Basir.