10 Feb 2000

Pekerjaan : PTP nafi tidak utamakan penduduk tempatan

Utusan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pelabuhan baru tersebut tidak mengutamakan penduduk tempatan dalam mengisi peluang-peluang pekerjaan di situ.

Pengurus Besar Zon Bebas & Bahagian Perhubungan Kerajaan PTP, Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata, setakat ini 50 peratus daripada pengisian jawatan kosng diberikan kepada penduduk berhampiran seperti Tanjung Adang, Tanjung Pelepas, kampung-kampung berdekatan pelabuhan, Pekan Nenas dan sebagainya.

Katanya, jawatan seperti pengawal keselamatan dan operator kren kebanyakannya pula telah diisi oleh penduduk tempatan termasuk para nelayan yang terjejas mata pencarian mereka berikutan dengan pembangunan projek PTP itu.

"Adalah tidak benar kita tidak menawarkan peluang perkerjaan kepada mereka terutama yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat sepertimana yang perlu dimiliki oleh pekerja-pekerja lain.

"Ini termasuklah bagi masyarakat nelayan di kawasan Serkat, di Sungai Karang. Sekiranya mereka membuat permohonan akan tetap dipertimbangkan mengikut kepada kekosongan sesuatu jawatan itu," katanya pada majlis kesyukuran pemberian pampasan kepada nelayan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecewaan yang disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan DUN Kukup, Samir Mahadi yang mendakwa tiada nelayan di kawasan itu mendapat pekerjaan di PTP sepertimana yang dijanjikan.

Menurut Samir, pemberian peluang pekerjaan kepada para nelayan yang terjejas teruk dengan projek pelabuhan itu adalah sebahagian daripada pakej penyelesaian bersama di antara kerajaan negeri dengan PTP selain pemberian pampasan.

Bagaimanapun, katanya, pihak PTP gagal memberikan peluang pekerjaan kepada nelayan-nelayan terbabit.

Shahrull Allam menambah, PTP memahami keadaan tersebut dan sebagai langkah di masa hadapan, notis-notis mengenai kekosongan jawatan akan diedarkan kepada semua ketua-ketua kampung, ketua-ketua nelayan supaya dapat disebarkan kepada semua pihak.

"Bagi mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati, PTP akan melakukan yang terbaik kerana selama ini pun masyarakat tempatan khususnya golongan nelayan telah banyak memberikan kerjasama kepada pihak PTP.

"Sebagai pemaju projek, PTP juga mempunyai tanggungjawab sosialnya dan tidak sekali-kali mengetepikan sumbangan serta sokongan yang selama ini telah diberikan bagi menjayakan projek kerajaan itu," tambah beliau.

Beliau berkata, sekiranya PTP berjaya menjadi pelabuhan terbaik dan maju bagi rantau Asia ini, ia bukan sahaja kejayaan kepada Kerajaan Pusat tetapi kerajaan negeri Johor yang telah turut terlibat secara langsung.

Beliau memberitahu, sejak beroperasi secara rasmi pada 1 Januari lalu dan percubaan pada bulan Oktober tahun lalu, sebanyak 160 buah kapal telah berlabuh di PTP termasuk beberapa kapal dagang yang besar.

"Penerimaan PTP kepada pemilik kapal antarabangsa membuktikan kita juga mampu membina, menyelenggara dan menyediakan kemudahan yang moden sepertimana terdapat di beberapa pelabuhan utama dunia," jelas Shahrull Allam.