22 Aug 2022

Pelabuhan Tanjung Pelepas diyakini mampu kekal prestasi baik tahun lalu

Berita Harian View Source

PASIR GUDANG: Kementerian Pengangkutan yakin Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mampu mengekalkan momentum prestasi tahun lalu, dengan mengendalikan 11.2 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pencapaian itu boleh dicapai pada tahun ini, ketika kebanyakan pelabuhan dunia terkesan akibat pandemik COVID-19 dan peperangan Ukraine-Russia.

Katanya, pada tahun lalu, PTP juga mengukuhkan kedudukan di tangga 15 pelabuhan tersibuk di dunia, berbanding tangga ke-18 pada dua tahun lalu.

"Berdasarkan prestasi PTP setakat semalam, pelabuhan itu sudah mengendalikan 6.89 juta TEU dan dijangka akan mencecah tujuh juta TEU pada hujung bulan ini.

"Melihat dari segi trend, penghantaran kontena akan meningkat pada empat bulan terakhir, berikutan musim perayaan seperti Krismas. Maka, kita yakin ia mampu mencapai prestasi 11.2 juta TEU seperti tahun lalu," katanya.
 

Wee Ka Siong (tengah) melancarkan Program CSR Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia. - NSTP/Omar Ahmad


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod, PTP mencatatkan jumlah kendalian 11.2 juta TEU, tahun lalu, iaitu pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada tahun sebelumnya, sekali gus meletakkannya antara 20 pelabuhan terbaik dunia.

Sejak ditubuhkan, PTP mengendalikan lebih 148 juta TEU, manakala Pelabuhan Pasir Gudang yang menjadi hab penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar dunia mengendalikan 21 juta TEU.