Pelabuhan Tanjung Pelepas ke India
Utusan Malaysia
JOHOR BAHARU 3 Mei – Pelabuhan kontena terbesar Malaysia, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), mengadakan pameran bergerak di India bagi meningkatkan pengetahuan pelabur negara itu tentang kedudukan pelabuhan itu sebagai pusat perkapalan utama rantau ini.
Pameran bergerak berkenaan juga bertujuan mempromosikan Zon Bebasnya kepada pengeluar, syarikat perkapalan, syarikat pengangkutan, penyedia perkhidmatan logistik dan pemilik kargo di India, demikian menurut PTP dalam kenyataannya di sini.
Katanya, tujuan utama pameran bergerak berkenaan adalah menarik syarikat-syarikat dari India yang mempunyai rancangan untuk memperluaskan perniagaan mereka di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan menjalankan perniagaan di Zon Bebas PTP, Zon Perdagangan Bebas utama di WPI.
“Sebagai satu daripada pemacu strategik utama dalam pembangunan dan kejayaan WPI, PTP mempunyai peranan untuk mempromosikan kawasan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baru melalui Zon Bebas Pelepas kami,” kata PTP.
“Melalui pameran bergerak ini, kami berharap pelabur India akan menyedari bahawa Zon Bebas Pelepas, kawasannya dan WPI menawarkan lokasi yang amat strategik kepada mereka untuk memperluaskan perniagaan mereka,” katanya.