07 Feb 2011

Pelajar tonton pementasan teater

Berita Harian

Program dedah kehidupan golongan kurang bernasib baik

GELANG PATAH: Seramai 100 pelajar dari empat sekolah sekitar Gelang Patah, di sini merasai pengalaman baru apabila berpeluang menyaksikan sebuah pementasan teater yang menfokus kepada isu kemanusiaan anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP).

Menerusi persembahan bertajuk 'Primadona...Perahu Mimpi' itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar, SMK Gelang Patah dan SMK Taman Nusa Jaya, mendapat pengalaman berharga apabila didedahkan kepada kehidupan serta nasib golongan kurang bernasib baik di negara ini.

Program itu adalah sebahagian daripada program amal dikenali 'Cahaya kasih', diadakan dengan kerjasama Grup Inspirasi Unik (GIU), menumpu kepada nasib individu kurang upaya serta langkah dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan.

Lakonan pementasan teater yang berlangsung tiga hari di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga mendapat kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Dewan Undangan Negari (DUN) Nusajaya dan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA).

Ia juga mendapat kerjasama UTM, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor (JKKNJ) serta Dewab Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abd Aziz Sapian.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Hartanah dan Zon Bebas PTP, Md Derick Basir, berkata inisiatif membawa pelajar berkenaan menyaksikan pementasan itu disalur kepada Pusat Pemuliharaan Dalam Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya.

Beliau berkata, hasil itu akan menyokong pusat terbabit yang juga sebuah pusat komuniti berdekatan Nusajaya menyediakan latihan kepada orang kurang upaya (OKU).

Katanya, PTP juga memberi penekanan kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat sekitar pelabuhan itu.

"Selain beramal, syarikat juga berbangga dapat mendedahkan pelajar kepada nasib golongan kurang bernasib baik apabila diberi peluang menyaksikan sendiri pementasan teater."

"Menerusi sambutan yang kami terima, kebanyakan pelajar sekolah ini baru pertama kali menyaksikan pementasan teater dan kami bangga dapat memberikan mereka pendedahan kerana syarikat yakin, mereka mendapat pengalaman berharga serta mempelajari sesuatu yang baru daripada aktiviti ini," katanya.

Pada masa sama, katanya, inisiatif itu juga satu cara untuk menanam dan menggalakkan minat generasi muda kepada aktiviti kesenian dan warisan. "PTP percaya menerusi pendekatan ini, ia juga satu bentuk pendidikan yang tidak semestinya didapati daripada buku teks. Pengetahuan mengenai sejarah negara, bahasa, seni dan budaya juga penting dalam usaha menyediakan generasi muda menjadi pemimpin masa depan," katanya.

Md Derick berkata, antara program tanggungjawap sosial korporat yang diaturkan PTP sepanjang tahun ini termasuk Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Bengkel Pekerjaan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tuisyen percuma kepada pelajar UPSR.