29 Sep 2015

Penuntut, staf NMIT sertai ceramah kerjaya

Utusan Malaysia

20150929-Utusan.jpg

Johor Bahru 28 Sept – Seramai 26 penuntut dan kakitangan Netherland Maritime Institute Technology (NMIT) menghadiri ceramah kerjaya anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di pelabuhan itu di Gelang Patah, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Glen Hilton berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan penuntut berkenaan tentang peluang pekerjaan dan persekitaran kerja dalam industri pelabuhan , termasuk di PTP.

“PTP komited menyediakan landasan bagi membantu bakal graduan memenuhi peluang pekerjaan dalam industri ini, sekali gus memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam menyediakan lebih ramai modal insan pada masa depan.

“Ini kerana kami menyedari cabaran yang bakal dilalui oleh graduan untuk memulakan kerjaya mereka. Justeru, program ini diharap dapat membantu mereka membuat keputusan yang tepat berkaitan kerjaya kelak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hilton berkata, program yang julung kali diadakan itu turut memberi penekanan tentang kemahiran yang amat diperlukan majikan termasuk dalam bidang pelabuhan.

Sempena program itu, para penuntut dan kakitangan NMIT turut dibawa melihat pusat kawalan marin, bilik simulator dan pejabat operasi PTP selain lawatan ke terminal dan kawasan zon bebas pelabuhan berkenaan.

Seorang peserta, Rozaini Raidzan mengakui amat teruja dan gembira kerana diberi peluang untuk melihat operasi yang dijalankan di pelabuhan berkenaan.

“Selain dapat mengetahui peluang kerjaya yang terdapat dalam bidang pelabuhan ini, saya dan rakan-rakan dapat merasai sendiri suasana bekerja di pelabuhan ini. Program ini ternyata amat bermanfaat terutamanya bagi bakal graduan seperti kami,”katanya.

Source