16 Apr 2007

Pertumbuhan PTP diunjur sekali ganda

www.bharian.com.my

PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP), pelabuhan kontena terbesar negara dari segi kendalian kargo, sekali lagi mengunjurkan pertumbuhan sekali ganda tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Harun Johari, berkata pelabuhan itu mencatat peningkatan 10 kali ganda dalam jumlah tahunan sejak ia mula beroperasi pada 2000.

“Kami turut merekodkan pertumbuhan sekali ganda sejak itu. Meskipun pertumbuhan kami pada 2007 mungkin tidak sehebat tahun sebelumnya, ia setanding dengan pertumbuhan industri. 

“Kami menjangkakan untuk mencatatkan pertumbuhan sekali ganda tahun ini,” katanya di Johor Bahru.

Beliau berkata, tahun lalu, PTP mengendalikan 4.8 juta TEU (kontena bersamaan dua puluh kaki), peningkatan hampir 15 peratus daripada jumlah yang dikendalikan pada 2005.

“PTP ialah pelabuhan utama “pindah kapal” untuk Asia Tenggara.

Kebanyakan kontena yang dikendalikan pada 2006 membabitkan kargo pemindahan kapal-ke-kapal. Bagaimanapun, 2006 turut menyaksikan PTP merekod pertumbuhan ketara dalam jumlah kendalikan kargo tempatan,” katanya.

“Pertumbuhan kukuh dalam kedua-dua bidang utama sedia ada serta jumlah kendalian tambahan berikutan pengambilalihan perniagaan oleh syarikat perkapalan, kapasiti kapal tambahan, peningkatan saiz kapal serta peningkatan jumlah kendalian kontena yang sumbangkan oleh penyewa zon bebas (Freezone) kami, turut menyumbang kepada pertumbuhan PTP tahun lepas.

Harun berkata, berikutan peningkatan dalam jumlah kendalian kontena, dua dermaga tambahan di pelabuhan itu siap tahun lalu.

“Dermaga tambahan itu meningkatkan kapasiti pengendalian tahunan PTP daripada enam juta TEU kepada lapan juta TEU. Rancangan pembesaran kami adalah selari dengan permintaan dan kami sentiasa memastikan kapasiti lebihan,” katanya.

Mengenai Freezone, Harun berkata kerja pembangunan Distripark B yang dimulakan lewat 2004, siap tahun lalu.

Katanya, sebahagian besar zon berkenaan dikhususkan untuk aktiviti perkilangan dan industri.

“Pada masa ini jenama global seperti syarikat elektronik Flextronics dan pengilang kanta pelekap Ciba Vision, sudah sedia beroperasi sepenuhnya dari kilang baru mereka di Distripark B,” katanya.

“Satu lagi penyewa terkemuka, Cameroon International, sebuah syarikat peneraju dunia dalam pengilangan sistem dasar laut luar pesisir untuk industri minyak dan gas, dijadual memulakan operasi di kilangnya yang baru siap tahun ini.”

Freezone Pelepas turut mendapat penyewa baru sejak beberapa bulan lalu. “Kadar pengisian kawasan Freezone sangat baik, dengan lebih ramai pelabur menunjukkan minat beroperasi di sini, kami akan memperluaskan kawasan Freezone tahun ini.”

Bagi mengatasi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat peningkatan trafik, PTP sudah membina pintu enam lorong di Freezone.

Mengenai operasi pelabuhan, Harun berkata tahun lalu PTP membeli tiga kren bagan, dengan lebih banyak lagi diserahkan tahun ini, selain lebih banyak kren gantri tayar serta jentera pengangkut.

PTP juga merekodkan kadar produktiviti yang tinggi. “Puratanya 33 gerakan dalam masa satu jam, iaitu antara yang paling tinggi di rantau ini dan melepasi purata industri antara 25 dan 28 gerakan sejam,” katanya.

“Kami akan terus mengekalkan tahap produktiviti kami yang tinggi menerusi penggunaan teknologi tertinggi dalam peralatan pelabuhan serta pembangunan berterusan tenaga kerja kami yang bermotovasi dan produktif.”

Harun berkata, antara cabaran dihadapi PTP ialah kemunculan banyak aktiviti ‘pindah kapal’ baru di rantau ini. 

Katanya, apabila kos operasi semakin tinggi, ditambah pula dengan harga minyak yang tinggi yang boleh menjejaskan kadar fret, pelanggan kini cenderung untuk memilih pelabuhan yang boleh menawarkan keuntungan yang lebih tinggi,” katanya.

Di PTP, beliau berkata, pihaknya menawarkan pelanggan dengan perkadaran nilai keseluruhan yang lebih baik, selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadi pelabuhan pilihan di Asia Tenggara. – Bernama