03 Aug 2021

PPVIN tambahan bakal dibuka untuk percepat pemberian vaksin COVID-19

Bernama View Source

SITI-SUKMA-02-1.jpg
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melihat seorang pekerja Pelabuhan Tanjung Pelepas menerima suntikan vaksin ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaskin Industri (PPVIN) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

ISKANDAR PUTERI, 3 Ogos -- Beberapa pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) tambahan untuk sektor pengangkutan bakal dibuka dalam usaha mempercepat pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas barisan hadapan sektor berkenaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata lokasi baharu PPVIN adalah di Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor, yang bakal memanfaatkan 54,000 pekerja dalam sektor pengangkutan dengan pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 (CITF).

"Pada 25 Jun lepas, enam PPVIN bagi sektor pengangkutan telah mula beroperasi bagi memberi suntikan vaksinasi COVID-19 kepada petugas barisan hadapan dalam sektor pengangkutan.

"Dalam fasa pertama ini, seramai 55,000 petugas barisan hadapan melibatkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim khususnya di kawasan Lembah Klang akan diberikan suntikan vaksinasi,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan PPVIN pekerja sektor maritim dan logistik di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini hari ini.

Beliau berkata PPVIN pertama dibuka adalah di Pelabuhan Klang diikuti PPVIN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights, KL Sentral, Kompleks Rapid Bas Cheras Selatan dan RedQ.

Mengenai pembukaan PPVIN di PTP bermula hari ini hingga 11 Okt depan, kira-kira 27,000 petugas barisan hadapan sektor pengangkutan maritim dan logistik berkaitan akan menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka termasuk petugas dari PTP, Pelabuhan Tanjung Langsat dan Pelabuhan Johor.

Sementara itu, Wee berkata majoriti pemandu teksi, pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang berdaftar dalam sistem MySejahtera telah menerima suntikan vaksinasi mereka atau telah mendapat tarikh janji temu suntikan.

Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan senarai nama 129,267 pemandu teksi dan pemandu e-hailing selain 73,394 penunggang p-hailing untuk proses vaksinasi.

Menurutnya berdasarkan data setakat 29 Julai lepas, sekitar 79 peratus pemandu teksi dan pemandu e-hailing telah menerima vaksin mereka atau tarikh janji temu bagi tujuan itu manakala bagi penunggang p-hailing pula, dianggarkan sekitar 71 peratus daripada mereka telah divaksin.