14 Jan 2014

PTP agih bantuan kepada 185 pelajar

Utusan Malaysia

PTP-agih-bantuan-kepada-185-pelajar.jpgNUSAJAYA 13 Jan. - Seramai 185 pelajar di sekitar daerah ini terpilih menerima bantuan berbentuk wang tunai dan kelengkapan persekolahan sumbangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) baru-baru ini.

Sumbangan menerusi program 'Kembali ke Sekolah' itu merupakan kali ketujuh diadakan dan melibatkan peruntukan sebanyak RM35,000 bagi meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar.

Pengagihan bantuan persekolahan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Polis Pelabuhan Tanjung Pelepas, Baharudin Othman dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Kemanusiaan), Ahmad Taufik Hamzah.

Baharudin Othman berkata, PTP akan terus menyumbang kepada masyarakat setempat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan dari semasa ke semasa.

"Ini bagi memastikan para pelajar di sekitar Gelang Patah dapat terus bersaing meneruskan pembelajaran dan secara tidak langsung menyuntik semangat mereka supaya lebih berjaya dalam pelajaran masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain program Kembali ke Sekolah, PTP turut menganjurkan kelas tuisyen Bahasa Inggeris, ceramah motivasi untuk pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta lawatan sambil belajar ke universiti tempatan.

"Meningkatkan taraf pendidikan di Gelang Patah merupakan salah satu objektif CSR PTP dan saya berharap kualiti pembelajaran di sini dapat berkembang sejajar dengan pembangunan PTP," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Mohd. Zaihan Jasni dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Kupang gembira kerana mendapat wang saku dan peralatan sekolah yang baharu

"Saya berazam untuk belajar dengan lebih gigih untuk lebih Berjaya bagi mengubah kehidupan keluarga pada masa akan datang,” katanya.