10 Jan 2015

PTP anjur CSR di Tiram Duku

Utusan Malaysia

Sempena sesi persekolahan yang bakal bermula Ahad ini, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama beberapa pihak mengambil inisiatif dengan melaksanakan program gotong royong di Sekolah Agama Tiram Duku, di sini baru-baru.

Ketua Pengawai, Korporat PTP, Azharuddin Nordin berkata, program tersebut disertai kira-kira 100 orang yang terdiri daripada kakitangan PTP, anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, tenaga pengajar dan pelatih pusat latihan Giatmara serta penduduk setempat.

"Aktiviti Gotong Royong ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTP bersama komuniti setempat.

"Selain membersihkan sekolah dan kawasan sekeliling, kita turut mengecat keseluruhan kelas dan bangunan serta membetulkan beberapa prasarana yang rosak," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut adalah pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak yang dikendalikan oleh para sukarelawan terlibat.

Menurutnya, program seperti itu merupakan salah satu landasan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara penganjur dan komuniti setempat.

"Sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin, PTP sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan, kesejahteraan dan sosioekonomi penduduk di Gelang Patah dan kawasan sekitar," katanya.