PTP Anjur Kem Motivasi Bagi Murid Tahun Enam Di Gelang Patah
Bernama
JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) - Seramai 150 murid tahun enam daripada 13 sekolah rendah di Gelang Patah telah menghadiri kem motivasi yang di anjurkan oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas ( PTP ) pada 9 Hingga 11 Mac baru-baru ini.
PTP di dalam satu kenyataan Selasa berkata, kem motivasi itu diadakan bertujuan memberi motivasi dan membina keyakinan para pelajar yang akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
"Program tahunan Kem Motivasi ini merupakan salah satu inisiatif kami membantu masyarakat sekeliling dengan fokus utama untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak di kawasan ini,"kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP Azlan Shahrim.
Beliau berkata, kem juga bertujuan sebagai input tambahan kepada pembelajaran dalam darjah dan memperlengkapkan diri pelajar dengan keyakinan dan motivasi tinggi.
Penolong Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya Shamsul Hamraaz Zaharuddin berkata, usaha kem motivasi anjuran PTP ini perlu dipuji dan diikuti oleh syarikat-syarikat korporat yang lain.
Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu Mohd Shahrizan Abdul Aziz pula berkata, para pelajar yang terlibat dengan kem motivasi berasa amat gembira sepanjang tempoh kem itu berlangsung.
"Para pelajar amat berharap kem motivasi ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan," katanya.
Salah seorang pelajar yang terlibat dengan kem motivasi ,Sofi Sazleen Hud daripada Sekolah Kebangsaan Sekijang berkata, beliau berasa amat bertuah kerana terlibat dengan kem motivasi.
"Menyertai program kem motivasi ini telah mendorong saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh bagi menghadapi UPSR. Saya berasa amat teruja untuk menghadapi UPSR pada September ini," katanya.
Menurut PTP, selain kem motivasi PTP turut merancang untuk melaksanakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) lain tahun ini seperti Program Tuisyen Percuma, Program 3M Mastering dan lawatan sambil belajar ke universiti tempatan.