PTP anjur kesedaran alam sekitar
Utusan Malaysia
JOHOR BAHRU 5 Nov. - Seramai 33 murid tahun enam dan 20 guru dari 11 sekolah sekitar Gelang Patah dekat sini menyertai Program Kesedaran Alam Sekitar anjuran bersama Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) di Tanjung Piai, Pontian, baru-baru ini.
Program selama sehari itu merupakan sebahagian daripada usaha PTP untuk mendidik para pelajar mengenai kepentingan menjaga dan melindungi alam sekitar terutamanya kawasan tanah bakau.
Pengurus PTNJ, Khalid Zahrom berkata, melalui program berkenaan juga, para peserta berpeluang menimba ilmu tentang hidupan laut, flora dan fauna serta spesies haiwan yang ada dalam hutan bakau di negara ini.
"Usaha PTP patut dijadikan contoh dan diikuti oleh syarikat korporat yang lain kerana program seperti ini dapat membantu para pelajar meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya hutan bakau.
"Penganjuran program seperti itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda terutamanya tentang senarai tanah lembap yang dikenali sebagai tapak Ramsar yang telah diwartakan sebagai harta negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
Pengurus Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hartanah dan Zon Bebas PTP, Md. Derick Basir berkata, program kesedaran alam sekitar itu adalah sejajar dengan saranan kerajaan yang mahu syarikat korporat menjadi lebih aktif dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.
"Ini adalah salah satu peranan syarikat untuk menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.
"Bagi program akan datang, kami akan terus memberi fokus untuk meningkatkan kualiti pembelajaran penduduk setempat berkaitan penjagaan alam sekitar," katanya.