PTP anjur motivasi UPSR murid Gelang Patah
Utusan Malaysia
JOHOR BAHRU 24 Apr. – Seramai 130 murid tahun enam dari 13 sekolah di kawasan Gelang Patah menyertai majlis ceramah motivasi bagi persediaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, baru-baru ini.
Program sehari yang diadakan di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini yang melibatkan 20 orang guru itu bertujuan untuk memupuk sikap positif dan yakin diri dalam diri murid-murid sebelum menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pengawai EKsekutif PTP, Hanif Hamid dalam satu kenyataan akhbar berkata, PTP komited dalam membantu program pendidikan yang akan menyumbang terhadap masyarakat setempat.
"Ini merupakan program kali kelapan sejak tahun 2007 dan turut mendapat kerjasama antara Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Johor Bahru. Program ini juga bertujuan member input tambahan mengenai pelajaran selain melengkapkan diri mereka dengan keyakinan dan motivasi lebih tinggi.
"Kami berharap agar program ini bukan sahaja membantu mereka mendapat keputusan cemerlang, malah membolahkan mereka memperbaiki teknik pembelajaran agar dapat dipraktikkan pada masa akan dating," katanya.
Hanif berkata, sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin, PTP sentiasa member penekanan terhadap pembangunan kesejahteraan dan sosioekonomi golongan berkenaan.
Ceramah motivasi tersebut, katanya, adalah antara salah satu usaha PTP yang disasarkan untuk membantu meningkatkan semangat murid untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kejayaan.
