PTP anjur pameran bergerak di India
www.bharian.com.my
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) kini mengorak langkah untuk menarik pelabur dari India dengan mengadakan pameran bergerak bagi mempromosikan pelabuhan itu sebagai hab perkapalan utama di rantau Asia Tenggara selain memperkenalkan zon perdagangan bebasnya (FTZ) di negara itu.
Jurucakap PTP berkata, antara objektif utama pameran bergerak di India adalah untuk menarik syarikat gergasi negara berkenaan mengembangkan perniagaan mereka dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur asing.
Beliau berkata, PTP yang termasuk antara lima komponen utama dalam pembangunan WPI mempunyai zon perdagangan bebas dikenali sebagai Zon Bebas Pelepas seluas 800 hektar di kawasan pelabuhan, sebagai antara tarikan kepada pelabur asing.
“Pameran bergerak di India ini, disasarkan kepada pemilik syarikat kargo, syarikat perkapalan, penyedia perkhidmatan logistik serta pengilang,” katanya di Johor Bahru semalam.
Beliau menegaskan, tumpuan juga diberikan bagi mempromosikan Zon Bebas Pelepas bagi mendedahkan kepada pelabur India mengenai kelebihan yang ditawarkan kepada syarikat yang melabur di kawasan itu.
Katanya, antara syarikat antarabangsa yang sudah melabur di kawasan itu adalah BMW, Flextronics, CIBA Vision dan JST & Cameron International.
Beliau berkata, kelebihan Zon Bebas Pelepas yang terletak dalam kawasan PTP serta berhampiran dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai serta Pelabuhan Johor, Pasir Gudang adalah tarikan kepada pelabur untuk melabur di kawasan ini.