15 May 2014

PTP Anjur Program Bahasa Inggeris

Utusan Borneo Sabah

JOHOR BAHARU- Sebagai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) melancarkan Program Pembangunan Bahasa Inggeris.

Dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Daerah Johor Baharu dan University Teknologi Malaysia (UTM), program itu akan diadakan dari bulan ini hingga November.

Ketua Pegawai Korporat PTP Azharuddin Nordin berkata sebanyak 100 pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, SMK Taman Nusajaya, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar dan SMK Tanjung Adang telah dipilih untuk mengikuti program itu.

"Ramai orang faham bahasa Inggeris tetapi berdepan masalah untuk bertutur dalam bahasa ini kerana kurang yakin. Oleh itu, PTP menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) melancarkan program ini untuk meningkatkan keyakinan pelajar sekolah menengah dalam menggunakan bahasa ini," katanya pada pelancaran program itu oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Johor Baharu Ab. Hafith Ismail kelmarin.