17 May 2003

PTP antara 3 calon pelabuhan terbaik Asia

Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bersaing dengan dua buah pelabuhan bagi merebut anugerah Pengendali Terminal Pelabuhan Laut Terbaik Asia di Anugerah Fret dan Rantaian Bekalan Asia 2003 ( AFSCAs ) di Singapura, 19 Mac ini.

PTP dicalonkan dalam kategori bersama dengan Pelabuhan bersama dengan Pelabuhan Hong Kong dan Pelabuhan Singapura.
 
Selain itu, PTP juga dicalonkan bagi kategori “Pengendali Terminal Kontena Terbaik Asia” bersama Modern Terminals Ltd dari Hong Kong dan PSA Corporation, Singapura.
 
Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman, dalam satu kenyataannya, berkata pencalonan itu adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana anugerah berkenaan adalah sangat berprestij.
 
Beliau berkata pencalonan itu juga adalah bukti kepada hubungan yang cemerlang dan kerjasama berpasukan antara pengurusan dan pekerja yang mendapat inspirasi membangunkan PTP bagi menjadi sebuah pelabuhan bertaraf dunia yang cekap.
 
Selain itu sebuah lagi pelabuhan Malaysia, Westport, di Pelabuhan Klang akan bersaing bagi kategori “Pengendali Terminal Kontena Sedang Muncul Asia” bersama dengan Terminal Kontena Guangzhou di China, Pelabuhan Jurong Singapura dan Terminal Kontena Shekuo China.
 
Pemenang Anugerah Fret dan Rantaian Bekalan Asia 2003 akan diumum dan disampaikan pada satu majlis makan malam di Fullerton Singapura.
 
Anugerah AFSCAs tahunan itu dianjurkan Cargonews Asia/ Logistik Asia/ Cargonews China, penerbit bagi majalah pengangkutan dan perdagangan logistik dwi mingguan yang berpangkalan di Hong Kong.
 
Ia dibahagikan kepada pelbagai kategori berkaitan dengan pengangkutan dan logistik di seluruh Asia dan dunia.