27 Mar 2002

PTP bangunkan sistem pelepasan kapal secara elektronik

Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), antara pelabuhan terbaik di Asia Tenggara, membangun dan melaksanakan sistem pelepasan kapal secara elektronik (VCS) untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal.

 
Sistem VCS membolehkan ejen perkapalan menyerahkan permohonan melalui Internet dan semua pihak akan menerima maklumat yang diperlukan berkaitan dengan bidang serta tanggungjawab mereka serta-merta.
 
PTP dalam kenyataannya kepada akhbar berkata, sebelum kaedah elektronik diperkenalkan permohonan untuk memasuki dan meninggalkan pelabuhan bagi kapal dibuat secara manual.
 
“Ejen perkapalan perlu mengemukakan permohonan kepada empat agensi kerajaan iaitu Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Laut, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Imigresen.
 
“Mereka juga perlu menyerahkan empat set dokumen yang berbeza kepada agensi berkenaan sebelum memperoleh Sijil Pelepasan Pelabuhan,” katanya.
 
PTP berkata, kejayaan melaksanakan VCS bulan ini menjadikan PTP sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang mempunyai sistem elektronik dan tanpa kertas bagi pelepasan pelabuhan.
 
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman, berkata VCs elektronik itu sebahagian daripada usaha pelabuhan untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dalam pengendalian dan juga pelepasan kapal.
 
Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu akan memastikan penggunaan sumber yang lebih baik oleh ejen perkapalan. Dengan itu ia mengurangkan kerja berlebihan.
 
“Inovasi ini adalah selaras dengan aspirasi untuk menjadikan PTP sebagai pusat pemungahan kapal yang utama di tantau ini,” katanya.
 
Sementara itu, PTP melabur sebanyak kira-kira RM400,000 untuk membangunkan VCS yang dikendalikan oleh vendor aplikasi Software Design & Consultancy Sdn Bhd, berdasarkan pengawasan teliti PTP.
 
VCS adalah hubungan pada paras sistem kepada MAPASS, sistem digunakan Jabatan Laut untuk pengisytiharan kapal dan kepada sistem marin yang mengawal trafik kapal di pelabuhan.