PTP beri peluang pelajar kuasai Bahasa Inggeris
Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Seramai 40 pelajar tingkatan empat dari empat sekolah menengah sekitar Gelang Patah, terpilih mengikuti Bengkel Komunikasi Bahasa Inggeris anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), baru-baru ini.
Program berkenaan yang berlangsung dari September hingga November melibatkan tujuh sesi keseluruhannya dan dikelolakan kakitangan PTP sendiri yang berpengalaman serta berkelayakan dalam bidang berkenaan.
Ketua Pegawai Korporat PTP, Azharuddin Nordin berkata, penganjurannya bertujuan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris yang mana sangat baik untuk masa depan pelajar.
" Kita mengadakan program seperti ini mengikut permintaan semasa, kemahiran berbahasa Inggeris ini amat perlu bagi melatih pelajar bercakap dengan lebih yakin di khalayak ramai.
" Selain program ini, PTP turut mengadakan program pendidikan lain yang berkaitan sebagai tanggungjawab social termasuk Kem Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rombongan pendidikan ke universiti tempatan dan sebagainya," katanya semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan Pengurus Besar Perkhidmatan Marin PTP, Kapten Akashah Md Dom.
Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Sultan Abu Bakar, Norita Sarmani berkata, program berkenaan wajar dipuji kerana kerajaan sendiri menetapkan dasar pelajar universiti perlu sekurang-kurangnya lulus Bahasa Inggeris untuk mendapatkan ijazah.
" Oleh itu, pelajar perlu sedia dengan pengetahuan dan keupayaan bercakap bahasa Inggeris secara fasih bermula sekarang sebelum mereka memasuki universiti kelak," katanya.
Peserta, Nurfatin Athirah Zulkhairi, 16, dari SMK Kompleks Sultan Abu Bakar berkata, secara keseluruhannya program ini amat baik sebagai persediaannya menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun hadapan.
" Banyak ilmu baru saya pelajari sepanjang program ini dan teruja apabila bercakap dan berinteraksi dengan peserta lain menggunakan bahasa Inggeris," katanya.